"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis buru lelaki samun, cabul penjawat awam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis sedang memburu seorang lelaki kerana didakwa mencabul dan samun seorang penjawat awam dalam kejadian di sebuah kuarters di Putrajaya, hari ini.

Kejadian berlaku pada 5.30 petang ketika mangsa berusia 36 tahun yang bertugas di sebuah kementerian dikatakan dalam perjalanan ke rumahnya.

Ketua Polis Putrajaya A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa mendakwa diekori seorang lelaki dari tempat letak kereta sehingga ke koridor aras sembilan kuarters didiami mangsa.

Katanya lagi, sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek menolak mangsa ke arah dinding dan merampas beg tangan serta dompet mangsa sebelum melarikan diri melalui tangga.

“Mangsa kemudian mengejar suspek sehingga aras dua sebelum lelaki itu berpatah balik, mendekati mangsa dan merampas telefon bimbit jenis iPhone 8 serta merabanya.

“Sejurus selepas itu, suspek sempat menumbuk mangsa di pipi kanan. Mangsa menjerit meminta tolong sebelum suspek melarikan diri sebaik jeritan didengari penghuni kuarters berkenaan,” katanya menurut laporan Kosmo.

Katanya, mangsa mendakwa wang tunainya berjumlah RM300 hilang dalam kejadian itu.

Asmadi berkata, siasatan awal mendapati, mangsa tidak mengenali suspek malah, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, suspek berambut pendek, berkulit gelap dan berbadan berisi selain berketinggian kurang lima kaki serta berbaju t-shit warna putih dan berseluar trek hitam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Usaha memburu suspek giat dilakukan melalui kaedah foto fit,” katanya.

Tiada ulasan: