"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hakim: Rosmah campuri urusan kerajaan ketika Najib jadi PM

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor mencampuri hal ehwal kerajaan ketika suaminya Najib Razak menjadi perdana menteri antara 2009 hingga 2018, kata Mahkamah Tinggi.

Hakim Zaini Mazlan berkata, ini berdasarkan rakaman audio dikatakan perbualan antara Rosmah dan Najib mengenai isu berkaitan 1MDB, dan turut disokong keterangan saksi pendakwaan.

“Jelas daripada rakaman itu, tertuduh memberi arahan kepada Najib mengenai hal ehwal kerajaan,” katanya dalam penghakiman sepanjang 116 muka surat ketika mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah di luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Katanya, nada Rosmah adalah memerintah, dan bertentangan dengan dakwaannya bahawa dia mematuhi arahan Najib supaya tidak mencampuri hal ehwal kerajaan.

“Saya menyatakan perkara ini dengan penuh hormat, namun jelas tertuduh mendominasi Najib. Dia mempunyai kawalan terhadapnya. Dia tidak patut mencampuri tugas atau hal ehwal Najib, tetapi berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Rosmah cuba menggambarkan perbualan itu sebagai borak biasa antara suami isteri.

Zaini berkata, bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor bercakap benar apabila memberi keterangan bahawa tertuduh dilihat sebagai garang dan mampu mempengaruhi keputusan berkaitan perkhidmatan awam.

Katanya, ini kerana Rizal telah berkhidmat lama dengan Rosmah seterusnya mampu melihat sendiri sikap itu.

Zaini berkata, beliau juga tiada sebab untuk curiga dengan keterangan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dan bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Madinah Mohamed yang mengesahkan suara dalam rakaman itu sebagai milik Najib serta Rosmah.

Ketika soal balas oleh pendakwa ad-hoc Gopal Sri Ram, Rosmah menolak isi kandungan rakaman itu sebagai “merepek”.

Pendakwaan mengemukakan rakaman itu bagi menyokong dakwaannya bahawa Rosmah cukup berpengaruh kerana garang, walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi.

Ia juga bagi menunjukkan Rosmah mendesak pegawai kanan Kementerian Pendidikan supaya memberikan projek itu kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Rosmah didapati bersalah meminta RM187.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion berkenaan.

Dia menerima rasuah RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Disember 2016, dan RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017.

Zaini memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap satu tuduhan terhadapnya, dengan kesemua hukuman itu berjalan serentak.

Tiada ulasan: