"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Demi kuasa, Pas seronok di puncak ingin terus menjadi tongkat Umno

NASUHA RAHMAN

Sikap, pandangan dan kenyataan pimpinan Pas kebelakangan ini tidak lebih dari sekadar menyerlahkan tingkah laku gerombolan yang terlalu takut kehilangan jawatan lantaran seronok di puncak kuasa.

Ini berikutan kenyataan Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda Pas beberapa hari lalu yang dilihat berterusan dengan ilusi bahawa Muafakat Nasional (MN) masih wujud.

Bagi Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub ia merupakan suatu isyarat jelas ketidakyakinan mereka terhadap kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi Perikatan Nasional.

“Ini mungkin bertitik tolak daripada jangkaan Pas melalui kenyataan dikeluarkan oleh Dr. Zuhdi Marzuki, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang juga merupakan Setiausaha Politik Timbalan Presiden PAS apabila menjangkakan potensi Pakatan Harapan untuk menang lagi dalam Pilihan Raya Umum ke 15 adalah tinggi,” kata beliau.

Selain itu, kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai beberapa pandangan politik yang melihat Bersatu akan berada di persimpangan yang cukup genting dan berisiko besar untuk kehilangan banyak kerusi terutama sekali kerusi Ahli Parlimen yang melompat dari Umno dan KEADILAN.

“Sekiranya ini berlaku, tentunya Pas dengan berbekalkan kemenangan 18 kerusi parlimen, tidak akan mampu untuk mengulangi strategi sama sebagai “king maker” dalam sesi tawar menawar bagi membentuk kerajaan.

“PAS tidak peduli walaupun pujukan kepada Umno untuk aktifkan kembali MN dibalas tuba, umpama hidung tidak mancung, pipi pula tersorong-sorong apabila Presiden Umno sendiri mengeluarkan kenyataan balas bahawa kerjasama MN yang Pas sampaikan hanya satu kerjasama politik dangkal,” kata beliau.

Ini kerana katanya, Pas telah mengkhianati Umno dan sentiasa ‘main dalam beberapa kolam’ tetapi demi survival politik, Pas relakan jua tindakan sebegitu.

Beliau tidak menolak mungkin faktor itu menjawab mengapa Pas memilih untuk memberi fokus kepada 27 kerusi yang berkemungkinan bertembung dengan Umno hingga ingin menamakannya sebagai “Kerusi Muafakat Nasional”.

Secara tidak langsung, jelasnya ini membuka pekung sebenar Pas yang mementingkan diri sendiri dan meninggalkan Bersatu terkontang kanting.

“Tidak mustahil Pas akan kembali berpelukan dengan Umno selepas PRU-15 dan meninggalkan PPBM.

“Meneliti kebarangkalian ini, saya ingin bertanya kepada penyokong PPBM yang ikhlas meninggalkan Umno kerana bencikan rasuah dan kebobrokan pentadbiran Umno-BN, adakah mereka merelakan negara ini diperkotak katikkan lagi dengan permainan Umno-PAS ini?” soalnya.

Justeru Salahuddin menyeru rakyat yang ikhlas menolak Umno demi Malaysia yang lebih baik perlulah bersama-sama dalam gerakan yang diperjuangkan Pakatan Harapan untuk sama-sama perbetulkan kembali Malaysia agar berada di atas landasan tepat pemulihan ekonomi, pendidikan, membasmi kemiskinan, mewujudkan pentadbiran negara yang bersih dan berintegriti.

“Hanya PH yang mempunyai wawasan jelas dalam mengangkat kembali maruah bangsa Malaysia di mata dunia berbanding PN dan BN yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan politik kepartian sahaja,” katanya lagi.

Tiada ulasan: