"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa calon perdana menteri Umno?

Mohsin Abdullah

Jika Pakatan Harapan kembali memerintah negara, pilihan mereka tetap Anwar Ibrahim untuk jawatan perdana menteri, meskipun gabungan itu ada “nama besar” seperti Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub. Tidak lupa Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hanya Lim Guan Eng, pengerusi DAP tidak boleh duduk kerusi nombor satu negara berdasarkan peraturan atau “perundangan tidak bertulis” bahawa perdana menteri wajib orang Melayu beragama Islam.

Andai Perikatan Nasional (PN) pula membentuk kerajaan semula, sudah diumumkan Muhyiddin Yassin orangnya untuk menjadi perdana menteri, walaupun ia ada nama “nama besar” seperti Azmin Ali dan Hamzah Zainudin.

Dan pilihan Gerakan Tanah Air sebagai perdana menteri pastilah Dr Mahathir Mohamad. Tidak ada nama lebih besar daripada itu dalam GTA, walaupun ada nama yang biasa kita dengar aktif dalam arena politik negara seperti Ibrahim Ali. Ada juga Mukhriz, anak Mahathir sendiri.

Bagaimana pula Umno? Saya ulangi persoalan yang dijadikan tajuk artikel ini. Siapa calon perdana menteri Umno? Logiknya, Ismail Sabri Yaakob lah yang walaupun “hanya” naib presiden parti, beliau perdana menteri sekarang dan sememangnya diangkat sebagai “poster boy” BN sebelum ini untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Namun, nampaknya ada tanda-tanda Ismail tidak boleh selesa dengan “jaminan” itu. Taklimat khas Umno yang berlangsung Sabtu lalu tercalar (untuk Ismail), apabila perwakilan “boo” ketika namanya disebut oleh Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Rasa tidak puas hati itu dilihat berpaksi kepada dua perkara: kes Najib Razak yang berakhir dengan pemenjaraan beliau dan dolak-dalik Ismail berhubung “timing” PRU15.

Dalam hal Najib, tidak banyak yang boleh Ismail lakukan. Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun bersabit kes dana SRC International, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan Selasa lalu.

Justeru, isu yang tinggal cuma bila masa Ismail mahu membubarkan Parlimen untuk PRU diadakan? Mungkinkah rasa tidak puas hati yang mengisi Dewan Merdeka tempoh hari akan reda, sekiranya PRU diadakan dalam masa dua, tiga bulan lagi.

Ismail tidak hadir taklimat khas presiden pada Sabtu, namun hadir dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada malam sama. Bagaimanapun, beliau masih kunci mulut mengenai isu berkenaan. “Tunggu, tunggu, tunggu” – itu sahaja komen ringkas beliau kepada wartawan semalam yang bertanyakan bila PRU akan diadakan.

Najib di penjara dan Zahid sendiri masih berdepan kes rasuah. Tetapi, ini tidak bererti Umno tidak ada “nama besar” lain untuk ditampilkan sebagai calon PM, selain Ismail, sungguhpun mereka mempunyai isu tersendiri dalam parti.

Tengku Razaleigh Hamzah antara tokoh boleh dianggap mempunyai kualiti atau ciri perdana menteri. Akan tetapi, Ku Li sudah tawar hati dengan Umno masa kini. Untuk jadi pengerusi lembaga penasihat parti pun dah tak nak.

Khairy Jamaluddin dilihat juga “PM material”. Tetapi, beliau seperti Annuar Musa dan Shahidan Kassim (geng Ismail) atau lebih tepat kluster kerajaan.

Hishammuddin Hussein bagaimana? Anak presiden Umno, cucu pengasas Umno. Namun, rata-rata Umno tidak berkenan dengan beliau kerana semasa Umno/BN kalah PRU14, Hishammuddin berundur dan tidak mahu menyertai usaha memulihkan Umno, walaupun kekal dalam parti.

Pada “taklimat khas” lalu, Zahid menegaskan beliau “menghormati” keputusan Mahkamah Persekutuan, tetapi pada masa sama berkata, Najib “dihukum sebelum didapati bersalah”, lantas mahu Umno menuntut “keadilan buat Najib”.

Ringkasnya menghormati keputusan mahkamah, tetapi tidak puas hati dengan keputusan mahkamah.

Oleh itu, kata Zahid, Umno akan melancarkan kempen petisyen menuntut Najib mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Beliau mahu semua ahli parti menandatangani petisyen itu tanda sokongan apabila tiba masanya dan “menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong “untuk penentuan”.

Terus terang saya katakan, jika pengampunan yang diusahakan itu bertujuan membolehkan Najib bertanding PRU dan kalau Umno/BN menang (yang mereka amat yakin akan tercapai), Najib akan kembali sebagai perdana menteri, ia strategi tersasar sama sekali.

Umno pimpinan Zahid harus peka bahawa sekalipun dirinya dan kalangan pemimpin parti tidak menyetujui keputusan Mahkamah Persekutuan, penghakiman itu mendapat sokongan meluas dalam kalangan rakyat. Justeru, sebarang langkah untuk menterbalikkan sabitan dan pemenjaraan Najib menerusi usaha mendapatkan pengampunan diraja, bakal memberi padah kepada Umno-BN semasa PRU.

Sememangnya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memberi pengampunan untuk kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Begitu juga raja-raja Melayu untuk kesalahan di negeri atau jajahan masing masing.

Pun begitu, ada proses perlu diikuti. Yang di-Pertuan Agong atau raja-raja dinasihati Lembaga Pengampunan. Dan lembaga berkenaan akan mempertimbangkan permohonan dan kemudian menasihati Agong mahupun pemerintah negeri, yakni raja-raja.

FMT tempoh hari mendapatkan pandangan Daniel Pascoe, profesor madya di City University of Hong Kong yang menjalankan penyelidikan mengenai sistem pengampunan di Malaysia.

Pascoe antara lain dipetik berkata, kes membabitkan banduan persekutuan akan didengar Lembaga Pengampunan persekutuan yang dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan serta tiga wakil awam dan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Dan suara paling penting dalam lembaga tersebut ialah peguam negara dan menteri. Peguam negaralah yang akan meminta Agong mengadakan mesyuarat, di mana Agong menerima nasihat lembaga.

“Agong bebas bertindak bertentangan dengan nasihat ini, tetapi wujud konvensyen dalam kes persekutuan di mana baginda menerima nasihat lembaga selaras peranan istiadatnya,” Pascoe dipetik berkata.

(Sila rujuk laporan FMT disiarkan 28 Ogos 2022 yang cukup menarik berjudul “Pemenjaraan Najib dan selok-belok sistem pengampunan” untuk huraian lanjut).

Mengimbau “taklimat khas” Umno baru-baru ini, khususnya ucapan ahli MKT, Azalina Othman Said. Katanya, pelantikan peguam negara atau AG adalah atas nasihat perdana menteri yang harus lantik “orang dia” ke jawatan itu untuk memudahkan segala urusan.

“Jika kuasa penukaran AG di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM,” menurut Azalina.

Kita semua maklum peguam negara sekarang ialah Idrus Harun yang dilantik semasa pemerintahan PN pimpinan Muhyiddin.

Maka, kata Azalina dalam “taklimat khas” itu: “Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh” yang disambut sorakan kuat hadirin. Beliau tidak menyebut nama, tetapi ia boleh dilihat antara rungutan kalangan pemimpin Umno terhadap Ismail yang dituduh tidak “berbuat sesuatu” untuk Umno dan Najib.

Jelas kempen pengampunan Najib dan desakan PRU15 diadakan secepat mungkin anjuran Umno pimpinan Zahid berkait rapat. Malah, isu Najib dan keadilan mahkamah dijangka diangkat Umno sebagai senjata untuk meraih sokongan pengundi.

Pada “taklimat khas” Umno, hadirin melaung-laung “bubar, bubar” merujuk Parlimen dibubarkan segera untuk PRU diadakan segera. Kalau PRU15 diadakan segera, persoalan paling penting: Umno dalam keadaan sekarang, boleh menang ke?

Tiada ulasan: