"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rosmah menangis, tetap mengaku tak salah

 Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor yang kelihatan mengalirkan air mata selepas disabitkan tuduhan rasuah tetap mengaku beliau tidak bersalah.

“Saya menjadi mangsa,” katanya yang memberi kenyataan dari kandang tertuduh.

“Saya tidak pernah meminta wang.”

“Saya harap pihak tuan akan mempertimbangkan (hakikat) bahawa saya seorang wanita yang mengambil alih peranan lelaki di rumah saya,” katanya, merujuk kepada hukuman penjara terhadap Najib Razak minggu lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

“Pandanglah saya sebagai seorang wanita dengan penuh belas kasihan serta perikemanusiaan,” katanya sambil menangis teresak-esak ketika berucap di mahkamah.

Terdahulu, Rosmah didapati bersalah atas tuduhan rasuah berkait projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Rosmah, 70, didakwa meminta suapan RM187.5 juta untuk dirinya sendiri, daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin yang dibuat melalui bekas pembantu Rizal Mansor, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek tenaga solar tersebut.

Dia juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Rosmah turut menghadapi pertuduhan tambahan, menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Berikutan itu, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Tiada ulasan: