"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid: PAS sentiasa bermain ‘selamat’ dan ‘mandi dalam beberapa kolam’

Kerjasama politik PAS dalam MN ‘dangkal’, tiba masa Umno ke depan, kata Zahid

FMT Reporters

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggambarkan PAS sentiasa bermain ‘selamat’ dan ‘mandi dalam beberapa kolam’.

PETALING JAYA: Umno perlu bergerak ke depan memandangkan PAS hanya menawarkan kerjasama politik yang disifatkan “dangkal” dalam Muafakat Nasional (MN), kata presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN tidak dapat dijalin, lebih-lebih lagi PAS menjalinkan hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan Umno dari luar dan dalam.

Beliau merujuk kepada keputusan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Bersatu, parti serpihan Umno.

“Apa yang saya lihat, kerjasama yang PAS sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.

“Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan PAS dapat dilihat,” kata Zahid di Facebook.

Menurutnya, Umno perlu bergerak ke hadapan dan keputusan untuk bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hasil sikap PAS sendiri.

“Umno tak perlu sedu-sedan apabila PAS sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam,” katanya.

Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam, bahawa parti itu tidak pernah mengisytiharkan MN dibubarkan, begitu juga dengan Umno.

Tuan Ibrahim berkata, platform penyatuan ummah itu perlu diteruskan demi kepentingan bangsa Melayu dan Islam serta masa depan negara.

Dua parti Melayu terbesar itu membentuk pakatan berkenaan pada September 2019 sebagai persefahaman pilihan raya dengan matlamat utama menyatukan undi Melayu-Islam.

Namun, pada Disember tahun lalu, PAS menolak gagasan MN jika Umno enggan menerima Bersatu dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai gagasan itu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika itu berkata, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti sedia menerima parti lain termasuk Bersatu dan NGO.

Pada 2 Ogos, Zahid mengajak PAS mengadu kekuatan terlebih dulu pada PRU15, sekiranya ingin bercakap berhubung pembentukan kerjasama.

Katanya, jika PAS masih mahu membentuk kerjasama dengan Umno, ia boleh dilakukan selepas PRU15.

“Kalau nak jalin sebarang bentuk kerjasama, jalin selepas keputusan PRU15…sekarang kita turun ke gelanggang dan adu kekuatan..kekuatan dari segi pengaruh pengundi-pengundi.

“Walaupun mahukan persefahaman dan sebagainya itu hanyalah harapan, tetapi realitinya rakyat tahu parti mana boleh membela nasib mereka,” katanya dalam wawancara “Jawab, Saya Tanya!” yang disiarkan secara langsung di Facebook miliknya.

Tiada ulasan: