"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RM6.5 juta memang untuk Rosmah, pembelaan hanya nafi semata-mata

Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa RM6.5 juta memang untuk Rosmah Mansor dan beliau menerima wang itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta serta Seri Perdana.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakiman bertulisnya berkata Rosmah menafikan menerima dua beg berisi wang tunai RM1.5 dan mendakwa satu-satunya perkara yang berlaku pada hari itu hanyalah Saidi Abang Samsudin (bekas pengarah urusan Jepak Holdings), meminta bantuannya berkaitan projek telaga air yang beliau ingin cadangkan kepada Kementerian Pendidikan.

“Tertuduh sekadar menafikan yang beliau telah melihat beg-beg tersebut dan Saidi memberitahunya bahawa beliau telah membawakan wang seperti dijanjikan yang mana tertuduh menjawab dengan “Hmmm.”

“Pada akhir kes pendakwaan, saya dapati Saidi seorang saksi yang boleh dipercayai dan menerima versinya. Dalam mana-mana keadaan, saya mendapati bahawa keterangan Rizal dan Rayyan Radzwill Abdullah, yang merupakan rakan kongsi Saidi, telah menyokong penuh versi Saidi,” katanya.

 Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Hakim itu berkata telah dibuktikan juga bahawa Saidi membawa kedua-dua beg ke kediaman tertuduh di Langgak Duta sehingga ke ruang tamu.

“Keterangan Rizal, Saidi, Rayyan Radzwill dan seorang pemandu Shamsul Rizal Sharbini telah menyatakan semula fakta ini.

"Saya berpandangan bahawa pembelaan tertuduh hanyalah penafian semata-mata. Penafian beliau tidak mempunyai apa-apa merit berdasarkan keterangan Rizal, Saidi, Rayyan dan Shamsul.

“Adalah tidak penting sama ada beg-beg tersebut diserahkan secara fizikal kepada beliau.

"Fakta bahawa beg-beg itu telah ditinggalkan di ruang tamu menandakan penerimaannya. Fakta bahawa beliau telah mengarahkan butlernya untuk membawa beg-beg itu ke biliknya di tingkat atas juga menandakan penerimaannya,” kata beliau.

Hakim itu berkata tertuduh telah gagal untuk menyangkal tanggapan mengenai imbangan kemungkinan dan pihak pendakwaan telah membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah berkaitan penerimaan RM1.5 juta.

Hakim berkata tertuduh juga menafikan telah menerima RM5 juta di Seri Perdana dan mendakwa berada di kediamannya di Langgak Duta.

“Beliau juga mengatakan bahawa Rizal telah mengambil RM5 juta itu untuk dirinya dan perjalanan ke Seri Perdana adalah satu sandiwara.


Gambar fail, Saidi Abang Samsudin di mahkamah.

“Ia bukan satu kebetulan RM5 juta dibayar selepas surat anugerah bertarikh 10 Nov 2016 dikeluarkan kepada Jepak.

“Saidi telah membuat pinjaman sebanyak RM16 juta untuk Jepak dan menggunakan RM5 juta untuk membuat pembayaran itu.

“Ini tentunya selepas Rizal mengingatkan beliau mengenai janjinya untuk membayar tertuduh,” katanya.

Hakim itu berkata wang RM5 juta yang telah dikeluarkan itu dibawa ke Pavilion dan enggan diterima oleh Lawrence Tee Kien Moon, seperti yang dinyatakan dalam kes pendakwaan.

Hantar wang RM5 juta

Beliau berkata tertuduh telah menafikan bahawa Rizal telah menelefonnya pada ketika beliau bersama Lawrence dan dimaklumkan untuk menghantar wang itu ke Seri Perdana.

“Saya dapati penafiannya tidak dapat dipertahan kerana bertentangan dengan fakta bahawa Rizal akan menghadapi masalah dan pada mulanya terpaksa berjumpa Lawrence untuk menghantar wang itu.

"Beliau boleh dengan mudah merancang untuk mengambil wang itu menerusi cara lain. Fakta bahawa dia pergi berjumpa Lawrence untuk menghantar RM5 juta sama seperti fakta dalam pertuduhan meminta wang, iaitu Lawrence telah diamanahkan untuk merangka perjanjian perundingan bagi memudahkan pembayaran yang akan dibuat Saidi,” katanya.

Mohamed Zaini seterusnya berkata Rizal tidak menjangkakan yang Lawrence enggan menerima wang itu kerana jika tidak, beliau tidak akan mengarahkan Saidi untuk ke pejabat Lawrence.

“Adalah tidak masuk akal untuk Rizal menelefon tertuduh kerana keseluruhan rancangan itu dibuat oleh tertuduh sendiri.

“Kenapa Rizal nak bersusah payah memandu ke Seri Perdana jika beliau ingin mengambil wang tunai itu untuk dirinya?

"Beliau pergi ke sana bersama ahli perniagaan Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin yang bersamanya di sepanjang perjalanan. Tidak pernah dicadangkan bahawa Ahmed bersubahat dengan Rizal,” kata hakim itu.

Hakim itu berkata mahkamah telah menerima bahawa Ahmed Farriq adalah saksi yang tidak mempunyai kepentingan dan boleh dipercayai.

“Ahmed Farriq nampak Rizal mengarahkan butler tertuduh untuk membawakan beg ke dalam Seri Perdana.

"Saya juga menerima penjelasan Rizal kenapa beliau meminta pegawai UTK untuk keluar dari kenderaannya sebelum tiba di Seri Perdana,” katanya.

Hakim itu menegaskan bahawa tertuduh telah, dalam pernyataan saksinya, semata-mata menafikan berada di Seri Perdana dan mendakwa beliau berada di pelbagai tempat di Kuala Lumpur pada hari tersebut.

“Ia satu fakta bahawa Seri Perdana merupakan kediaman rasminya. Tidak ada sebab untuk Rizal menghantar beg-beg dengan wang tunai RM5 juta ke sana, jika tidak kerana bahawa ia memang untuk tertuduh,” kata hakim.

Beliau juga mendapati agak sukar untuk menerima bahawa Rizal telah meminta untuk dirinya 15 peratus dari RM187.5 juta, kerana ia satu jumlah yang besar dan beliau hanyalah seorang kakitangan di Pejabat Perdana Menteri.

“Ia suatu yang tidak munasabah untuk menerima bahawa Rizal telah merangka skim itu untuk kepentingannya, kerana tentunya ia akan diketahui.

“Saya ragu-ragu bahawa Rizal akan mengambil risiko sebesar itu. Pada pandangan saya bahawa beliau hanya mampu untuk meminta wang, kerana beliau telah diarahkan oleh tertuduh.

“Saya mendapati penafian tertuduh tidak dapat dipertahankan. Untuk mencadangkan bawah Rizal dengan beraninya mengaturkan skim seperti itu tanpa diketahui tertuduh, agak susah untuk dipercayai.

“Sebagai contoh, kenapa Rizal bersusah payah untuk membawa Saidi dan Rayyan bertemu tertuduh di kediamannya jika beliau mempunyai kuasa yang sebesar itu?,” katanya.

Hakim Mohd Zaini mendapati sukar untuk mencadangkan bahawa Rizal telah mengaturkan Saidi dan Rayyan untuk berada di kediaman tertuduh tanpa pengetahuannya, kerana itu merupakan kediaman persendirian tertuduh.

“Agak sukar untuk diterima bahawa Rizal telah mencuba nasib untuk beliau ada di rumah dan kemudiannya membawa Saidi dan Rayyan tanpa sebarang agenda. Adalah lebih berkemungkinan bahawa Rizal telah memaklumkan tertuduh dan membuat aturan awal untuk kedua-dua mereka bertemu tertuduh,” katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: