"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Sudah setahun lima bulan, bila nak lantik duta ke Indonesia?'

Malaysiakini 

Penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff mempersoalkan kenapa kerajaan belum melantik Duta Besar Malaysia ke Indonesia, selepas mengambil kira betapa pentingnya hubungan diplomatik antara dua negara itu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Agus membangkitkan sudah setahun dan lima bulan jawatan itu tidak diisi sejak persaraan Zainal Abidin Bakar pada 4 April 2021.

"Ini seolah-olah kerajaan menganggap hubungan diplomatik tidak penting.

"Bagi saya, tidak mempunyai duta di negara sepenting Indonesia untuk tempoh yang begitu lama adalah ‘kelemahan’ yang sepatutnya tidak berlaku," katanya.

Agus yang kini berkhidmat di Indonesia berkata, peranan duta amat penting antaranya untuk membantu warga Malaysia di negara tersebut serta melakukan rundingan dalami isu dua hala seperti soal pembantu rumah, tenaga kerja, ekonomi dan pertahanan.

"Kita juga perlukan duta untuk melindungi warga kita di Indonesia yang menghadapi masalah, baik masalah undang-undang, perniagaan dan lainnya," katanya lagi.

Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman dicadangkan untuk dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Bagaimanapun, cadangan itu mengundang bantahan banyak pihak termasuk Umno, yang rata-ratanya membangkitkan Tajuddin yang sentiasa mengundang kontroversi.

Pada Julai lalu, nama Tajuddin dilaporkan tiada dalam senarai duta baru yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong. Sementara ada laporan yang mendakwa dia telah digugurkan, ada juga laporan yang berkata pelantikan itu hanya "ditangguh".

Agus berkata selepas perkembangan itu, tiada lagi khabar berkenaan pelantikan Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan ia merupakan antara yang diperkatakan beberapa pihak di sana kepadanya.

Katanya lagi, duta yang akan dilantik itu perlu memenuhi beberapa kriteria antaranya ada latar pendidikan yang sesuai, memahami bidang tugasnya, ada pengetahuan dan pengalaman tentang Indonesia, mampu menyelesaikan konflik bilateral dan memiliki peribadi yang tidak sombong dan peka kepada rakyat yang memerlukan khidmat kedutaan.

"Susah sangatkah mencari calon yang sesuai? Kita ada ramai pemimpin atau pegawai yang layak dan memenuhi kriteria sebagai seorang duta.

Tiada ulasan: