"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jeritan minta tolong selamatkan wanita yang dikurung

MOHAMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU: Jeritan seorang wanita warga asing yang didengari jiran berjaya menyelamatkannya selepas dikurung di dalam sebuah rumah selama tiga hari di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 37 tahun itu dikurung seorang lelaki dan wanita warga tempatan dalam rumah berkenaan.

Jiran suspek yang merupakan wanita berusia 34 tahun memaklumkan perkara tersebut kepada anggota polis setelah terdengar mangsa menjerit meminta tolong pada pukul 11.45 pagi.

“Bertindak atas maklumat pada 1.30 petang sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

“Pihak polis berjaya menyelamatkan mangsa yang dikurung dalam rumah dengan pintu dikunci dengan mangga dari luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah tetapi telah dikurung di rumah berkenaan sementara mendapatkan kerja itu.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 36 dan 38 tahun pada pukul 3.30 petang dan 9.42 malam semalam di dua lokasi berasingan di sini.

Polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama daripada kedua-dua suspek dan menyiasat hubungan antara mereka.

“Kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 3 September depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. –UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: