"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khairuddin senaraikan ‘jasa’ Najib sebagai ingatan buat PAS

Yasmin Ramlan

Bekas ahli jawatankuasa PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan anggota parti itu supaya mengenang jasa bekas perdana menteri Najib Razak. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menegur pihak yang berseronok atas musibah yang menimpa Najib, selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadapnya berikutan kes SRC International. 

“Ketika beberapa pimpinan PAS secara peribadi berhadapan masalah kesihatan Najib juga secara peribadi membantu atas nama pemimpin negara.

“Saya menyebutkan perkara ini agar kita semua belajar erti bersimpati pada mereka yang diuji dengan musibah khususnya pada mereka yang ada sedikit kebaikan kerana kita diajar oleh al-Quran ‘jangan kamu lupakan kebaikan sesama kamu,” pesannya.

Dia mengingatkan bahawa Mursyidul Am PAS Hashim Jasin telah memberi garis panduan kepada anggota parti berhubung isu mahkamah Najib itu. 

Dia memberi beberapa contoh “jasa dan bantuan” yang menurutnya wajar dihargai oleh anggota PAS. 

Antaranya, kata Khairuddin, laluan yang diberikan oleh Umno Terengganu sebelum ini agar PAS berpeluang mengadakan program-program besar di negeri itu. 

“Saya rasa sahabat-sahabat saya dalam PAS perlu di peringatkan dengan jasa Najib memudahkan peruntukan untuk Kelantan sebelum 2018, sesuatu yang tidak berlaku di era PM sebelumnya.

“Jasa Najib juga menggerakkan RUU 355 yang dibentang oleh Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi Awang) di Parlimen.

“Jasa Najib memberi ruang kepada PAS beraksi dalam program besar peringkat dunia melibatkan 200 orang ulama besar dunia di Festival MyAqsa di Putrajaya sehingga presiden boleh memberi ucaptama,” katanya. 

Pada 23 Ogos, Najib menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda. 

Perdana menteri keenam itu kecundang dalam rayuan akhirnya di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung.

Tiada ulasan: