Mohsin Abdullah
Imbau sepintas lalu. Artikel saya siaran FMT 6 April 2023 antaranya memaparkan strategi para peguam Najib Razak untuk membebaskan anak guam mereka daripada hukuman penjara yang sedang dilalui kerana sabit kesalahan kes SRC International. Strategi mereka ialah menggunakan pandangan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, bagi menyokong permohonan bekas perdana menteri agar semakan dilakukan ke atas keputusan bersalah dalam kes SRC International.
Walaupun empat lagi hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib, para peguamnya tetap mahu mempersembahkan satu “dissenting voice” kepada Yang di-Pertuan Agong agar Najib mendapat pengampunan.
Artikel saya semalam yang disiar FMT pula mengetengahkan surat yang diutus Azalina Othman Said, menteri di Jabatan Perdana Menteri, kepada Shafee & Co, peguam bela Najib. Surat itu ‘mendedahkan’ hasil siastan SPRM ke atas Nazlan Mohd Ghazali (hakim yang menjatuhi hukuman penjara ke atas Najib), sekaligus memberi nafas baharu kepada usaha mendapatkan pembebasan untuk Najib.
Sebaik artikel itu disiar kita disaji dengan berita mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno memutus sebulat suara merayu pengampunan bagi bekas presidennya. Ketiga-tiga langkah itu terjadi secara “one after another”. Tersusun. Bagi saya ia seakan dirancang baik. “A well coordinated move” dengan satu objektif yang semua tahu apa.
Apa pun banyak persoalan timbul sekarang berkaitan rancangan Umno mendapatkan pengampunan Agong untuk Najib. Tetapi sebelum dibincangkan hal itu, saya imbau satu laporan portal berita yang mana penganalisis membayangkan hubungan Barisan Nasional (baca: Umno) dengan Pakatan Harapan berdepan risiko retak selepas permohonan semakan keputusan SRC International tidak berpihak kepada Najib. Laporan itu mendakwa orang Umno yang setia dengan Najib tidak puas hati. Perlu diingat Najib masih ada pengaruh dalam Umno. Walaupun portal berita yang menyiarkan laporan keretakan BN-PH itu dikatakan pro-pembangkang, persoalan yang ditimbulkan harus juga diteliti.
Sekarang Umno seperti dikata tadi sudah membuat kenyataan rasmi mahu mendapatkan pengampunan Agong untuk Najib. Adakah ini akan merumitkan hubungan Umno dengan PH dalam kerajaan perpaduan? Tidak, kata naib presiden Umno, Khaled Nordin. Menurut beliau hubungan Umno-PH tidak akan terjejas kerana apa yang partinya lakukan ialah menunjuk penghargaan terhadap bekas presiden yang banyak berjasa kepada parti dan memimpin BN selama sembilan tahun.
Pemimpin PKR, Hassan Karim, juga berpendapat keputusan Umno memohon Agong mempertimbangkan pengampunan tidak akan meretakkan hubungan kerajaan perpaduan. Malah, kata beliau, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak terbabit secara langsung dalam proses pengampunan diraja itu. Hassan memetik peruntukan Perlembagaan yang menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan. “Ini bermakna nasihat perdana menteri atau Jemaah Menteri tidak diperlukan,” kata beliau.
Lantas, katanya, Anwar tidak boleh dipersalahkan jika proses pengampunan diraja itu berjalan dengan cepat atau lambat, dibenarkan atau ditolak.
Memang ada benarnya kata Hassan itu. Bagaimanapun beliau juga mungkin mahu menjauhkan perdana menteri dan PH daripada pengampunan Najib berdasarkan beberapa sebab termasuk pendirian PH mengenai skandal 1MDB dan juga sentimen majoriti rakyat terhadap kesalahan Najib.
Ringkasnya, Najib diampun bukan sesuatu yang popular dan disukai ramai. Semasa artikel ini ditulis media sosial dihujani komen anti-pengampunan malah sudah ada petisyen memohon Agong menolak pengampunan walaupun belum ada permohonan rasmi dibuat Umno setakat ini.
Apa pun Anwar pula mengaku beliau terlibat dalam proses pengampunan. Permohonan pengampunan diraja dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan (membabitkan kes persekutuan bukan negeri), dan tiga anggota yang dilantik oleh Agong. Oleh kerana jawatan menteri Wilayah Persekutuan sudah ditiadakan, Anwar selaku perdana menteri bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan. Oleh itu beliau ‘terpaksa’ terlibat dalam proses pengampunan di Wilayah Persekutuan.
Namun Anwar menyangkal akan wujud konflik kepentingan dengan penglibatannya dalam proses permohonan pengampunan Najib kerana keputusan muktamad sama ada memberi pengampunan atau tidak adalah bawah bidang kuasa tunggal Agong. Bidang kuasa tunggal Agong memang difahami umum. Itu jugalah sebab ada petisyen dibuat buat terus kepada Agong memohon pengampunan ditolak seperti dikatakan tadi.
Kata wartawan veteran, A Kadir Jasin, jika Umno memohon pengampunan untuk Najib dibuat atas dasar simpati (seperti dikatakan Presiden Umno, Zahid Hamidi) adakah parti tidak memikirkan hal berkaitan lain semasa membuat ketetapan tersebut? Menurut Kadir: “Kata lah Umno ada tiga juta ahli dan semua mahu Najib diampunkan. Tetapi apa hal dengan 27 juta lagi warganegara Malaysia? Adakah mereka pun mahu Najib diampunkan?” Pertanyaan yang tepat.
Hakikatnya setiap individu yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhi hukuman berhak memohon untuk pengampunan diraja berdasarkan Artikel 42(1) Perlembagaan. Namun mereka mesti menjalani hukuman untuk jangka waktu tertentu sebelum boleh memohon dipertimbangkan untuk pengampunan. Begitu juga keadaannya dengan Najib. Beberapa peguam berpendapat Najib belum menjalani hukuman penjara yang lama untuk dipertimbangkan.
Apa pun teringat saya akan titah Agong pada 5 Sept 2022. Titah baginda kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana bakal dipertanggungjawabkan kelak di kemudian hari. Sesungguhnya benar .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan