"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemancing dakwa dirompak 4 lelaki berpakaian celoreng tentera

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

Semporna: Tiga pemancing berdepan detik cemas apabila dirompak empat lelaki berpakaian celoreng tentera di kawasan perairan antara Pulau Boheyan dan Pulau Siamil, dekat sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu, pengadu bersama dua rakannya dalam perjalanan dari pekan Semporna menuju ke arah Pulau Mataking untuk memancing sebelum terserempak dengan sebuah bot warna hitam yang dipercayai bot tentera sedang memeriksa sebuah bot awam.

Sumber memberitahu, tidak lama selepas itu iaitu kira-kira dalam jarak dua kilometer bot yang dinaiki mereka kemudiannya dihampiri bot tentera berkenaan sebelum diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

"Pengadu, lelaki tempatan berumur 31 tahun itu, mendakwa melihat empat orang lelaki berpakaian baju T celoreng tentera darat berseluar hijau tentera.

"Semasa pemeriksaan dibuat salah seorang suspek mengarahkan pengadu bersama dua rakannya mengeluarkan kad pengenalan serta semua barang dalam beg termasuk wang supaya diletakkan atas dek bot.

"Salah seorang suspek bagaimanapun telah mengambil seikat wang pelbagai not yang keseluruhannya berjumlah RM1800 manakala seorang lagi suspek bertindak mengambil 16 tong mengandungi petrol sebelum mereka beredar dari lokasi kejadian," katanya.

Menurut sumber itu juga, pengadu tidak dapat mengecam wajah kesemua suspek terbabit kerana tidak memakai tanda nama serta memakai topeng namun mengesahkan mereka menggunakan bot jenis fiber dengan dua buah enjin 200hp (kuasa kuda) tanpa nombor pendaftaran.

Bagaimanapun, pengadu berkata suspek bertutur dalam bahasa Melayu manakala seorang lagi bercakap dalam bahasa Bajau.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pulau Bum Bum kira-kira jam 3.50 pagi pada 15 Disember lalu.

Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

"Polis ada buat tangkapan dan kes masih dalam siasatan," jawabnya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Tiada ulasan: