"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penduduk tak senang, pekerja warga asing pengotor, mandi di luar rumah

Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my
PEKERJA asing yang tinggal di unit kediaman jenis teres dua tingkat yang dijadikan asrama sejak Ogos tahun lalu. FOTO Mikail Ong
PEKERJA asing yang tinggal di unit kediaman jenis teres dua tingkat yang dijadikan asrama sejak Ogos tahun lalu. FOTO Mikail Ong
Bayan Lepas: Lebih 200 penduduk di Jalan Sungai Ara 1 dan Jalan Sungai Ara 10, di sini, mengeluh apabila tujuh unit kediaman teres tiga tingkat di taman perumahan mereka dijadikan asrama pekerja asing sejak Ogos tahun lalu.

Wakil penduduk, Geetha Balakrishnan, 43, berkata, warga asing yang terdiri daripada wanita dan lelaki terbabit tidak menguruskan sampah dengan baik termasuk membuang sisa makanan di belakang rumah menyebabkan kawasan berhampiran menjadi kotor dan berbau busuk.

"Mereka juga gemar menjalankan aktiviti seperti membasuh pakaian selain membersihkan ikan dan ayam di luar rumah dan bagi penghuni lelaki mereka turut mandi di situ.

"Selain itu ada penghuni lelaki yang gemar keluar rumah dan bersantai di taman permainan tanpa memakai baju dan ini menyebabkan penduduk bimbang untuk membiarkan anak-anak keluar bermain di luar rumah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, pada peringkat awal hanya terdapat satu unit rumah yang dijadikan asrama dan kini bilangannya meningkat kepada tujuh dalam tempoh kurang setahun.

"Saya juga mendapat tahu ada di antara unit rumah yang dijadikan asrama pekerja asing terbabit memuatkan sehingga 32 orang dan mereka suka buat bising dan bercakap dengan suara kuat tidak kira siang atau malam.

"Bagi penghuni wanita ada yang bawa balik kawan termasuk teman lelaki dan mereka ada masanya datang pada waktu malam dengan motosikal dan kereta serta parkir di hadapan rumah kami," katanya.

Sementara itu, Ooi Seng Kong, 58, berkata, pihaknya tidak menolak kepentingan pekerja asing terutamanya dalam sektor perkilangan tetapi tindakan mewujudkan asrama di taman perumahan penduduk bukan satu langkah yang bijak.

"Kami berharap pihak kerajaan negeri dapat membantu penduduk untuk menyelesaikan isu dan pada November lalu kami telah menyalurkan aduan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tetapi belum mendapat maklum balas daripada pihak berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: