"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Angkara pemandu positif dadah, guru besar maut dalam perjalanan agih bantuan

Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my

KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan menyebabkan seorang maut. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan menyebabkan seorang maut. FOTO ihsan pembaca
Pasir Puteh: Guru besar meninggal dunia selepas motosikal ditunggang mangsa terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Pasir Puteh - Machang - Gerik, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Wan Ab Hisham Wan Noh, 55, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan berkonvoi bersama rakan untuk menyampaikan sumbangan Ramadan kepada anak-anak yatim di Machang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kemalangan membabitkan Perodua Myvi, Perodua Kelisa dan motosikal jenis Yamaha NVX.

Katanya, siasatan awal mendapati Perodua Kelisa dipandu wanita berusia 20 tahun dalam perjalanan dari Machang ke Pasir Puteh sebelum dirempuh Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 39 dari arah belakang.

"Rempuhan menyebabkan Perodua Kelisa memasuki laluan bertentangan dan merempuh pula motosikal ditunggang mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zaizul berkata, mangsa yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali mengalami kecederaan di kepala.

"Pemandu Perodua Kelisa cedera ringan, manakala pemandu serta penumpang Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, ujian air kencing mendapati pemandu Perodua Myvi positif Methamphetamine.

"Kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan, saksi bebas sudah dikesan dan dirakam percakapan serta tangkapan dibuat terhadap pemandu Perodua Myvi," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tiada ulasan: