"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua OKT warga Indonesia buka gari berantai, larikan diri

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
DUA OKT warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang ke Penjara Ledang. FOTO Ihsan Polis
DUA OKT warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang ke Penjara Ledang. FOTO Ihsan Polis
Kulai: Polis giat mengesan dua Orang Kena Tahan (OKT) warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang di Tangkak, hari ini.

Suspek Haji Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40 tahun melarikan diri ketika dalam perjalanan di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, berhampiran Jambatan Kerata Api di sini, kira-kira 11.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, sebelum itu, pada 8 pagi, empat OKT warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi dan dituduh mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 dan dikenakan hukuman penjara enam bulan.

Beliau berkata, kesemua OKT itu ditangkap oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana dipercayai tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah masuk ke Malaysia.

"Lebih kurang 11.20 pagi, tiga anggota APMM ditugaskan membawa empat OKT dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang selepas selesai pertuduhan.

"Ketika dalam perjalanan, dua daripada OKT terbabit berjaya membuka gari berantai lalu membuka pintu belakang van, kemudian melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran Jalan Raya di Jakan Felda Inas menghala ke Sengkang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, unit pengesan anjing K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sedang membantu mengesan kedua-dua suspek di tempat kejadian.

"Op Tutup dijalankan dan pasukan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai dikerah bagi mengesan dan menangkap kedua-dua suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan. Polis meminta kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek untuk menghubungi Bilik Gerakan Daerah Kulai di talian 07- 6637222," katanya.
VIDEO tular memaparkan anggota polis dalam usaha mencari suspek. FOTO tular

Sebelum ini, tular video pendek berdurasi 26 saat memaparkan beberapa anggota polis berada di tepi Jalan Sengkang dalam usaha mencari kedua-dua suspek.

Tiada ulasan: