"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz: Sanusi perlu belajar daripada MB Perlis, Kelantan

Malaysiakini 

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta belajar daripada Menteri Besar Perikatan Nasional (PN) di Perlis dan Kelantan yang lebih berhemah dalam menjaga hubungan dengan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata jika Muhammad Sanusi terus dengan sikapnya untuk bersengketa dengan kerajaan pusat, ia akan merugikan rakyat Kedah yang mahu melihat kelancaran program pembangunan di negeri ini.

"Bagi saya (sepatutnya) dia belajarlah daripada orang-orang dia yang lebih berpengalaman. Malah saya lihat orang baharu Menteri Besar Perlis (Mohd Shukri Ramli), dia ini 'low profile' tetapi dia lebih berhemah untuk mendapat perhatian daripada kerajaan pusat dengan cara yang tidak kasar, dengan cara yang lemah lembut.

“... atau dari orang lama macam (Menteri Besar Kelantan) Datuk Ahmad Yakob, ini sepatutnya dilakukan kerana bagi saya satu kerugian kalau ia (persengketaan dengan kerajaan Persekutuan) terus berlarutan," katanya ketika ditemui pemberita di Alor Setar malam tadi.

Menurut Mahfuz, sebarang ketegangan hubungan antara kerajaan negeri Kedah dengan kerajaan Persekutuan juga boleh menimbulkan kegusaran pelabur sama ada yang telah melabur atau pun mereka yang berhasrat menanam modal di negeri ini.

Beliau berkata Muhammad Sanusi juga sepatutnya perlu lebih banyak menggunakan kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri untuk menerangkan kepada umum misi dan visinya bagi memajukan Kedah dan bukannya untuk mengeluarkan dakwaan atau sentimen politik demi kepentingan dirinya.

Justeru Mahfuz menggesa Muhammad Sanusi menyahut titah Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, baru-baru ini yang menekankan pentingnya keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Kedah Nor Azrina Surip dalam kenyataan berkata Muhammad Sanusi perlu berhenti melakukan pembohongan berkait Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Menteri Besar adalah figura penting dalam sebuah negeri, bukan sahaja mewakili rakyat negeri Kedah secara keseluruhannya bahkan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk parti politik yang menyokong atau tidak menyokong kepadanya sekarang diwakili oleh beliau di peringkat Persekutuan,” katanya.

Muhammad Sanusi sebelum ini dilaporkan membuat beberapa dakwaan termasuk kononnya dihalang daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran kerajaan Persekutuan serta mendakwa ada usaha menyingkirnya mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.

- Bernama

Tiada ulasan: