"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Dua anggota polis cedera, ditikam pengedar dadah

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera selepas bergelut dengan pengedar dadah di Kampung Siput, Meranti, di sini, semalam.

Mangsa, Lans Koperal Muhamad Arif Ismail, 28, mengalami kecederaan pada bahagian belakang akibat ditikam selain luka pada pergelangan tangan serta pipi, manakala, Lans Koperal Aminullah Islahudin, 29, cedera di lengan kiri, tangan dan tapak tangan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika kejadian kedua-dua anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, itu membuat serbuan ke atas lelaki berusia 30 tahun selepas terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota, suspek bertindak agresif menyebabkan berlaku pergelutan sebelum suspek bertindak menyerang kedua-dua anggota menggunakan pisau sehingga berlaku kecederaan.

"Bagaimanapun, suspek yang turut cedera di muka berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan mendapati plastik yang dipegangnya mengandungi 12,000 biji pil kuda dan 282.9 gram heroin bernilai RM232,000.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif Methamphetamine.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 20 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang media di IPK Kota Bharu, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kedua-dua anggota yang cedera dalam keadaan stabil dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini

Tiada ulasan: