Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my
THEIN Ko dan Nabila menafikan menerima sumbangan RM100,000. FOTO Ahmad Ismail
Muar: Keluarga empat kanak-kanak yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini, menafikan dakwaan mereka menerima wang sumbangan sebanyak RM100,000 daripada pendakwah terkenal Ebit Liew.
Thein Ko Htut, 31, berkata, dia dan isterinya, Nabila Sedu, 30, sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.
"Saya tak terima sejumlah wang seperti didakwa itu. Kalau ada pihak boleh bukti, tunjukkan bukti, nak cakap senang.
"Kalau Ebit Liew bagi duit sejumlah itu dekat saya tunjuklah kerana saya tidak pernah terima duit sebanyak itu," katanya ditemui di sini, malam tadi.
Pekerja kedai makan itu berkata, dia bersedia pada bila-bila masa untuk disiasat oleh pihak berkuasa atau sesiapa saja berkaitan isu itu.
"Ada tuduhan yang dibuat terhadap saya dan isteri kononnya sudah kaya ada dapat RM100,000 dari pendakwah terkenal dan terus simpan di bank.
"Kena tunjuk bukti dalam akaun bank saya. Pergilah cari periksa akaun bank saya, tiada masalah," katanya.
Menurutnya, dia kesal kerana menjadi mangsa fitnah orang yang tidak dikenali.
"Memang sedih teramat, tetapi bila fikir balik, tak perlulah nak layan perkara seperti ini. Lagipun, Allah lebih kenal saya, tidak perlu kenal pun individu yang mereka-reka cerita," katanya.
Ebit Liew menziarahi keluarga itu pada 30 Mac lalu dan mengaku sebak melihat tangisan ibu bapa mangsa sepanjang urusan pengurusan jenazah di Muar.
Dalam kejadian 7.49 malam, 29 Mac lalu, Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik air di bahagian dapur kediaman mereka.
Empat beradik itu maut ketika cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi di bilik air di dapur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan