FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang mudir pusat tahfiz khas untuk etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan mencabul kanak-kanak lelaki dalam kejadian 1 April lalu.
Tertuduh, Abu Toyub Umor Abbas, 58, yang juga etnik Rohingya kelihatan menangis ketika membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mencabul seorang kanak-kanak lelaki etnik Rohingya berusia 11 tahun tiga bulan.
Perbuatan itu dilakukan dalam bilik di sebuah pusat tahfiz khas untuk etnik Rohingya di Kota Bharu, 3 pagi pada 1 April 2023.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam, Rozihan Othman.
Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh seorang warganegara asing yang mencari suaka atau tempat perlindungan di negara ini.
“Tertuduh memiliki kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan didapati masuk ke negara ini secara haram serta tidak ada sebarang rekod keluar dan masuk selepas berada di sini.
“Kemungkinan besar tertuduh boleh melarikan diri atau mengganggu kanak-kanak itu berikutan hubungannya dengan mangsa adalah guru dan pelajar,” katanya.
Pada prosiding itu, Rozihan memohon anak guamnya dibenarkan ikat jamin untuk menjamin kehadirannya ke mahkamah.
“Sekiranya tertuduh melarikan diri, wang ikat jamin yang dibayar masih selamat di dalam jaminan pihak mahkamah.
“Tertuduh membuka pusat tahfiz itu sejak lima tahun lalu dan perlu menyara seorang isteri serta seorang anak,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan permohonan itu dan menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta untuk lantikan jurubahasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan