"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘MP PAS boleh didakwa menghasut berhubung soalan provokatif’

Malaysiakini 

Sambil menyatakan bahawa tiada kebebasan bersuara mutlak di Parlimen, pemimpin DAP P Ramasamy berkata ahli parlimen PAS Ismail Abd Muttalib boleh didakwa di bawah Akta Hasutan berhubung soalan provokatifnya di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dia juga menggesa supaya ahli parlimen Maran itu meletak jawatan, dengan alasan Ismail tidak layak menjadi wakil rakyat.

Pada nota sama, timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu meragui jika kepimpinan PAS atau Perikatan Nasional akan mengambil tindakan terhadap Ismail.

“Kadang-kadang, saya tertanya-tanya sama ada terdapat perbezaan di antara beberapa wakil rakyat kita dan bekas penyokong tegar sistem apartheid di Afrika Selatan.

“Ismail menyoal, apakah benar kerajaan berhasrat untuk memberi pengiktirafan kepada rakyat yang lahir selepas merdeka tanpa mengira warna kulit, mengapa kampung baru Cina masih dikekalkan meskipun masih wujud komunisme di tempat tersebut dan jika kerajaan negeri DAP di Pulau Pinang mendesak supaya laungan azan di negeri itu diharamkan.

“Adalah pelik bahawa selepas lebih enam dekad kemerdekaan, negara yang menjadi penandatangan kepada pelbagai konvensyen PBB mengenai hak asasi manusia, dan menentang sistem apartheid di Afrika Selatan, serta pembela gerakan emansipasi lain, ahli Parlimen hari ini - bukan kejutan seorang ahli PAS - mempunyai keberanian untuk membangkitkan soalan-soalan yang menjengkelkan jika tidak sekalipun benar-benar bodoh,” tambahnya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Ismail antara lain, mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat meminta kerajaan mewajarkan rasionalnya untuk "mengiktiraf" rakyat yang dilahirkan selepas merdeka di Malaysia tanpa mengira "warna kulit".

Ramasamy berkata kewarganegaraan bukan "sains roket" dan proses itu tidak melibatkan warna kulit.

“Bagaimana warna kulit boleh menjadi kriteria penentuan kerakyatan di Malaysia? Rakyat Malaysia tidak berkulit putih tetapi mempunyai pelbagai  warna kulit yang berbeza,” tambahnya.

Sementara itu, Ismail turut mempersoalkan mengapa kampung baharu Cina masih dikekalkan dan jika komunisme masih wujud di tempat tersebut.

Menjawab soalan itu,  Ramasamy berkata kampung baharu itu ditubuhkan semasa darurat untuk menghentikan gangguan komunis terhadap penduduk kampung.

Pemimpin DAP itu berkata, bahawa banyak daripada kampung-kampung berkenaan telah berubah menjadi kawasan bandar yang berkembang maju dan untuk mencadangkan bahawa terdapat pengaruh komunis adalah tidak bijak.

Justeru, Ramasamy berkata Ismail cuba meniupkan api perkauman untuk menghasut masyarakat Cina yang "rajin dan bekerja keras” itu.

“Jika dua soalan sebelum ini tidak cukup buruk, dakwaannya terhadap  kerajaan negeri DAP Pulau Pinang yang kononnya melarang laungan  azan adalah berbaur hasutan dan cuba mengapi-apikan sentimen perkauman.

“Tidak ada perkara seperti kebebasan bersuara mutlak di Parlimen. Malah, Ismail boleh didakwa atas kesalahan menghasut,” katanya lagi.

Walaupun Ismail tidak menyebut negeri mana yang dimaksudkannya, maklumat palsu berhubung larangan pembesar suara masjid untuk azan di Pulau Pinang telah tersebar sejak sekurang-kurangnya 2011.

Maklumat salah ini telah dibangkitkan berulang kali selama bertahun-tahun untuk menyerang pentadbiran negeri pimpinan DAP walaupun beberapa penjelasan telah dibuat.

Larangan adalah terhadap penggunaan pembesar suara untuk bacaan ayat-ayat al-Quran sebelum solat subuh, dan bukannya terhadap laungan azan itu sendiri.

Tiada ulasan: