ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
“Pendidikan dan pembangunan jiwa anak bangsa perlu seiring dengan polisi yang digariskan kerajaan. Susah benar jika rakyat bawahan dan cerdik pandai mahu ke kanan, manakala pembuat polisi bertegas mahu ke kiri kerana sedikit laba yang dilihat mampu mengembungkan poket.”
Hidup sebagai ibu bapa atau anggota masyarakat semakin mencabar. Saban hari ada sahaja ujian baharu menerpa secara sedar atau tidak. Terbaharu kita dikejutkan dengan keputusan kerajaan membenarkan penjualan 45 jenis mercun dan bunga api dengan permit khas sempena musim perayaan dan tindakan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 bagi mengenakan cukai kepada cecair vape.
Umpamanya kita cuba membersihkan sungai yang dicemari sisa industri bagi menjamin kebersihan dan kesihatan air dalam rumah kita. Namun pihak berkuasa pula memberi lesen kepada pemain industri untuk membuang sejumlah sisa kilang ‘tertentu’ daripada mereka ke dalam sungai, atas alasan ia jadi sumber pendapatan kerajaan dengan “sewa guna arus sungai sebagai pembawa sisa berbahaya ke laut” yang kemudiannya memudaratkan penduduk seluruh kawasan.
Pada hemat saya, kedua-dua keputusan tersebut umpama membuka pintu bencana yang besar pada negara. Hayati larangan nabi SAW yang bermaksud: Tidak boleh mencetus mudarat (untuk kepentingan diri) dan dan tidak boleh menimbulkan mudarat (kepada orang lain tanpa sebab). (Sunan Ibn Majah, 2331).
Teguran dan pandangan adil berbagai pihak perlu diambil kira pihak berkuasa. Ini kerana tanpa teguran yang wajar, kemusnahan besar boleh berlaku.
Inilah yang semangat yang dibangkitkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini (dengan berbagai bencana); akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam. (al-Baqarah: 251)
Selain itu, sebarang keputusan kerajaan perlu mengambil kira aspek pengurusan risiko yang mantap dan menyeluruh. Islam menetapkan satu kaedah penting iaitu:
“Menghindari kerosakan lebih utama berbanding mendatangkan manfaat.” Melalui kaedah ini, pihak kerajaan perlu mengukur keburukan yang mungkin timbul akibat sebarang pelaksanaan polisi.
Menjelang musim perayaan, kes ‘kitar semula’ kecederaan parah akibat letupan mercun buatan sendiri sering dipaparkan media. Pada 4 dan 11 April lalu, dua kes dilaporkan di Terengganu, meragut tangan dan mata sekumpulan kanak-kanak dan orang dewasa.
Pernah juga beberapa tahun lepas dilaporkan seorang remaja berusia 14 tahun di Panji, Kelantan, buta mata kanan dan hancur semua jari tangan kiri terkena belerang mercun bola yang diletakkan dalam botol kaca. Bagaimana agaknya nasib anak ini yang sudah meningkat dewasa sekarang?
Mercun menjadikannya Orang Kurang Upaya (OKU).
Saya sangat risau jika kebenaran menjual 45 jenis mercun itu akan menambah statistik rakyat kita menjadi OKU. Mohon dijauhkan Allah.
Jika mahu ditimbang tara, mudarat mercun atau bunga api ternyata jauh lebih besar berbanding manfaatnya ketika musim perayaan. Pun begitu, ada yang cuba menjustifikasi kebenaran penjualan mercun terpilih dengan cadangan undang-undang tambahan seperti larangan membakar mercun selepas lewat malam.
Namun yang berlaku, penggila mercun sanggup bersengkang mata bergembira meletupkan suasana tenang malam mengganggu orang tidur.
Secara tidak langsung pihak berkuasa seperti polis pula diberi kerja tambahan yang remeh, memantau orang dan menangkap pemain mercun lewat malam?
TAMBAH KONFLIK
Selain itu, saya sering berfikir apa manfaat besar mercun untuk negara? Adakah KDNK negara akan meningkat setanding negara maju kerana jualan 45 jenis mercun tersebut dibenarkan? Atau kebenaran tersebut hanya menambah konflik dalam masyarakat?
Berapa banyak pergaduhan dalam kejiranan berlaku kerana isu gangguan bunyi luar biasa dari mercun? Nabi SAW sangat tegas melarang sebarang gangguan kepada orang lain.
Sabda baginda SAW yang bermaksud: Tidak halal (tidak patut) bagi seorang Muslim mengejutkan (menakut-nakutkan) saudara Muslimnya yang lain (walaupun sekadar gurauan). (Sunan Abu Dawud, 4351).
Orang Islam yang menjiwai akhlak Islam pastinya menjaga hak orang lain kerana itulah makna sebenar di sebalik Islamnya. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud:
Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
Antara maksud kejahatan tangan yang boleh difahami dalam hadis di atas adalah kejahatan menjual dan membakar mercun sehingga menggangu atau mencederakan ‘gegendang telinga’ atau anggota badan orang lain. Oleh itu, langkah membenarkan penjualan mercun sangat tidak kena dengan misi melahirkan masyarakat yang sihat.
Selain mercun, tindakan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 bagi mengenakan cukai kepada cecair vape juga perlu dinilai semula secara adil dan menyeluruh.
Jangan hanya melihat sudut ekonomi sahaja dalam membuat keputusan.
Timbang semula antara manfaat cukai kepada negara berbanding lambakan pesakit berkaitan nikotin yang bakal meningkat pada masa hadapan.
Pada 6 April lalu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tan Sri Prof. Emeritus Dzulkifli Razak dalam Kolum UIAM Berhujah menyatakan kerisauannya terhadap langkah kerajaan ini yang mungkin menimbulkan berbagai impak negatif dalam masyarakat.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengambil kira pandangan pakar kesihatan kerana pucuk pimpinan kerajaan tidak akan melepaskan jawatan setelah tempoh mentadbir mereka habis, sebaliknya apa sahaja keputusan atau polisi yang mereka buat akan menjadi legasi harum atau busuk di dunia dan di akhirat kelak.
Jika nantinya ada rakyat yang rosak hidupnya menjadi mangsa ketagihan nikotin susulan keputusan terbaharu ini, adakah anda boleh bebas daripada audit Allah di akhirat kelak?
Pastinya dosa akibat polisi berimpak besar sebegini tidak akan diampunkan Allah hanya dengan duduk beristighfar selepas solat atau melancong sambil menyucikan dosa di Mekah sahaja. Fikirkanlah semasaknya.
Saya tutup tulisan ini dengan ayat Allah yang boleh menjadi panduan berguna kepada kita semua terutama pemegang amanah pimpinan negara berkenaan dua isu yang disentuh kali ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (al-Ma’idah:100)
Abdullah Bukhari Abdul Rahim
al-Hafiz, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan