"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zuraida tuntut semula jawatan presiden PBM di mahkamah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin memfailkan tuntutan di mahkamah untuk diiktiraf sebagai presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah.

Zuraida memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mac, menurut Malaysiakini.

Menurut kertas kausa yang dilihat portal berita itu, Zuraida memohon beberapa deklarasi, termasuk keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengekalkan Ahli Parlimen Julau Larry Sng sebagai presiden parti adalah tidak sah dan tidak munasabah.

Beliau turut memohon perintah mandamus untuk memaksa JPPM mendaftarkan dan mengiktirafnya sebagai presiden PBM, berkuat kuasa 7 Okt tahun lepas.

Menerusi afidavit sokongannya bertarikh 22 Mac, Zuraida mendakwa, ketika perhimpunan agung parti pada 1 Okt tahun lepas, Sng membuat kenyataan bersetuju bahawa akan berlaku peralihan untuk melantik Zuraida sebagai presiden parti.

Beliau juga menerima surat daripada PBM bertarikh 15 Okt tahun lepas yang menyatakan PBM telah memaklumkan JPPM mengenai pelantikannya sebagai presiden, katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa menerima surat daripada PBM pada 19 Dis tahun lepas, bahawa Sng “mengisytiharkan diri” sebagai presiden parti, menggantung keahliannya, dan mengarahkannya tunjuk sebab dalam tempoh tujuh hari.

Beliau mendakwa alasan yang diberikan adalah beliau telah mempersoalkan jawatan presiden Sng dan mengelirukan ahli parti lain dengan meminta mereka mengeluarkan kenyataan bersama mengisytiharkan beliau presiden PBM.

Menurut Zuraida, tindakan Sng tidak sah kerana peruntukan yang digunakan untuk menggantung keahliannya hanya boleh dilaksanakan oleh presiden parti. Justeru, beliau tidak menjawab surat itu kerana menganggap tindakan Sng melanggar perlembagaan parti.

Zuraida juga berhujah bahawa kegagalan dan/atau kecuaian JPPM telah membolehkan PBM memecatnya dengan cara yang bercanggah dengan perlembagaan, yang “secara langsung menyebabkan kerosakan teruk pada imej dan kerjaya politiknya”.

Zuraida meninggalkan Bersatu pada Mei tahun lepas untuk menyertai PBM yang baru ditubuhkan. Beliau menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Beliau bertanding atas tiket PBM dalam usaha mempertahankan kerusinya pada PRU lepas tetapi tewas kepada calon PKR Rodziah Ismail dalam persaingan sembilan penjuru.

Disember lepas, Zuraida dipecat oleh PBM bersama 10 ahli lain selepas mereka gagal menjawab surat tunjuk sebab.

Tiada ulasan: