"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Malapetaka menanti PH jika Najib, Zahid bebas, Ahli Parlimen PKR beri amaran

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) memberi amaran bahawa gabungan itu dan juga PKR bakal ditolak pengundi sekiranya bekas perdana menteri Najib Razak mendapat pengampunan manakala Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan daripada tuduhan rasuah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, kedua-dua senario itu akan menjadi “malapetaka” kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perbicaraan rasuah Zahid ditangguhkan kepada Ogos bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lanjut.

Presiden Umno itu berdepan 47 tuduhan pengubahan wang haram dan jenayah pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan dituduh menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 hingga 2018.

Najib pula mahu memohon pengampunan diraja selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berkait kes SRC International.

Hassan berkata imej Anwar tercalar dengan usaha Najib untuk mendapat pengampunan diraja dan penangguhan perbicaraan Zahid.

Beliau memberi amaran kepada Anwar, PH mungkin ditolak pengundi dalam pilihan raya di enam negeri nanti dan juga pilihan raya umum akan datang.

“Kesudahannya, PH dan PKR akan rebah dan tersungkur bersama-sama Barisan Nasional dan Umno jika Najib dan Zahid bebas dan lepas dengan begitu mudah sekali.

“Jika itu berlaku, jangan kata saya tak ingatkan,” katanya.

Tiada ulasan: