"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lubnan 'balas dendam' ke atas Israel

TEL AVIV - Bedilan roket bertubi-tubi dilancarkan dari Lubnan menyasarkan Israel pada Khamis, sehari selepas insiden serangan ganas rejim Zionis ke atas jemaah Palestin di Masjid al-Aqsa.

Pasukan Pertahanan Israeal (IDF) memaklumkan, ia mengenal pasti 34 roket Katyusha yang dilancarkan dari wilayah Beirut ke Tel Aviv.

"Kira-kira 25 daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udara kami. Sebanyak lima roket lagi bagaimanapun berjaya mendarat di wilayah Israel," ujarnya dalam satu kenyataan merujuk kepada serangan 'balas dendam' yang dilancarkan sebagai tanda solidariti dengan Palestin.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan, ia sedang mengawasi perkembangan situasi keselamatan dan akan melakukan penilaian bersama ketua agensi berkaitan.

Perkhidmatan Kecemasan Israel memberitahu, dua individu cedera akibat terkena serpihan roket tersebut malah siren amaran turut dibunyikan di bandar Shlomi dan Moshav Betzet serta Galilee di utara Tel Aviv.

Susulan tindak balas dilancarkan Beirut, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (INFIL) menggesa semua pihak supaya bertenang.

"Keadaan semasa agak serius dan langkah segera untuk meredakan situasi tersebut perlu diambil segera bagi mengelakkan ia menjadi lebih buruk," kata jurucakap pasukan itu yang melakukan rondaan di kawasan sempadan antara Lubnan-Israel.

Menurut laporan media tempatan di Beirut, Israel turut melancarkan serangan balas dari kedudukan mereka di sempadan ke pinggir dua perkampungan di negara tersebut, namun IDF menafikan perkara tersebut. - AFP

Tiada ulasan: