"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Minum air tin berkarbonat berlebihan sejak 8 tahun bawa padah

Yasmin Abdul Latif
Mahatdir Mohammad dan Anbalagan antara pesakit kencing manis mendapat bantuan kaki palsu percuma daripada sebuah syarikat.
PETALING JAYA: Sejak berusia lapan tahun, Mahatdir Mohammad sering terdedah kepada pengambilan makanan dan minuman manis berlebihan yang kesannya dirasai kini apabila disahkan menghidap kencing manis atau diabetes.

Tanpa pemantauan keluarga, dia bebas membeli air berkarbonat yang kandungan gulanya agak tinggi dan tabiat itu berterusan sehingga menginjak usia remaja termasuk bekerja di sebuah restoran makanan segera.

Kesan penyakit kencing manis dihadapinya menjadi serius pada tahun ini apabila kaki kirinya terpaksa dipotong Mac lalu, menyebabkan pergerakan terbatas termasuk untuk mencari rezeki.

“Dulu tiada siapa nak kawal, saya pun makan sajalah sebab dulu saya kurang makan saya lebihkan air, balik sekolah beli air gas.

“Ada rasa kesal sebab tak menjaga tabiat sehingga menghidap kencing manis dan sekarang hilang kaki,” kata remaja berusia 21 tahun itu kepada FMT.

Dia ditemui sempena Hari diabetes disambut pada 14 Nov setiap tahun untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bagi mengamalkan gaya hidup sihat daripada dijangkiti penyakit itu.

Namun, Mahatdir bertuah apabila penderitaannya mendapat perhatian sebuah syarikat ortotik dan prostetik, dD Kedidi Global Sdn Bhd yang memberikan kaki palsu percuma kepadanya.

Mahatdir juga telah mengubah tabiatnya dengan mengawal pengambilan makanan dan minuman terlalu manis.

Sementara itu, Anbalagan,40, seorang lagi pesakit kencing manis dibantu dD terharu dengan sumbangan kaki palsu percuma diberikan dD yang membolehkannya bekerja semula untuk menyara kehidupan keluarganya.

“Saya dapat bina hidup saya balik daripada terperuk dalam bilik tak bergerak guna kerusi roda pergi minta bantuan dekat orang,” luahnya.

Anbalagan berkata, dia yang sebelum ini bekerja sebagai sebagai jurupandu dan pembantu kedai makan mengakui banyak mengambil minuman penambah tenaga dan kafein untuk mengelak dari rasa mengantuk ketika bekerja.

Namun, dia tidak menyedari tabiat itu mengundang padah apabila disahkan menghidap kencing manis dan kaki kirinya terpaksa dipotong.

Hari diabetes disambut pada 14 Nov setiap tahun untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bagi mengamalkan gaya hidup sihat daripada dijangkiti penyakit itu.

Tiada ulasan: