"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: 'Kita tak akan jadi lebih teruk berbanding ketika Pagoh jadi PM'

Yasmin Ramlan, Geraldine Tong & Puteri Aisya Sufian

PARLIMEN | Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyindir Muhyiddin Yassin hari ini dengan berkata pencapaian kerajaan sekarang tidak akan menjadi lebih buruk daripada ketika ahli parlimen Pagoh itu mentadbir negara.

Ia selepas Muhyiddin mencadangkan agar kerajaan menyediakan pakej rangsangan ekonomi dan memperuntukkan RM100 bilion hingga RM200 bilion di dalamnya.

Rafizi menyifatkan cadangan itu akan memberi beban tidak wajar dan ekonomi masih boleh berada dalam keadaan baik tanpa pakej rangsangan.

"Berdasarkan kepada unjuran prestasi ekonomi sekarang, insya-Allah kita tidak akan menjadi lebih teruk daripada semasa Pagoh menjadi perdana menteri.

"Kalau, contohnya, kementerian mengambil hutang sehingga RM100 bilion ke RM200 biluon seperti yang disebut Pagoh, kita mengambil hutang dalam suasana kadar faedah antarabangsa lebih tinggi...sehingga RM40 bilion setiap tahun semata-mata untuk membayar hutang," kata Rafizi.

Ia mengundang ejekan daripada pihak pembangkang, menyebabkan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul masuk campur.

Selepas itu, Mohammad Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) menyuarakan kebimbangannya kepada Rafizi bahawa perbelanjaan kerajaan tidak memadai. Rafizi kemudian menegaskan bahaw Belanjawan 2023 adalah belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

"Maksudnya kerajaan telah berbelanja. Tidak timbul soal kerajaan tidak berbelanja, yang penting ialah kerajaan berbelanja secara berhemah dan dapat nilai yang terbaik - bukannya berbelanja dengan hutang secara buta.

"Kerajaan akan terus berbelanja besar tetapi tidak semata-mata untuk mendapat sokongan rakyat, mengambil hutang besar supaya perdana menteri nampak popular," katanya.

Rafizi berkata kerajaan akan berbelanja untuk mengatasi defisit fiskal pada tahap bahaya yang akan turut memberi kesan kepada hutang yang akan diambil kerajaan di masa akan datang.

Dia berkata jika kerajaan tersasar daripada sasaran defisitnya, ia bermakna penarafan hutang adalah lebih tinggi.

Bagaimanapun dia senada dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sebelum ini berkata kerajaan komited untuk menurunkan kadar defisit fiskal kepada 3.2 peratus pada 2025.

Dia kemudian menegaskan setiap kali kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negara, pendekatan berhutang digunakan tanpa menguruskan penarafan defisit yang menyebabkan kadar faedah meningkat dengan begitu banyak.

"Kalau sekarang RM40 bilion, dalam tempoh lima tahun lagi jadi RM60 bilion," kata Rafizi.

Tiada ulasan: