"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis bongkar kegiatan ‘sedut wang’, 7 ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Taktik sekumpulan tujuh lelaki menggunakan platform jual beli barang untuk memperdayakan orang ramai memuat turun Android Package Kit (APK) sebelum “menyedut” wang mangsa, terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di Jalan Tun Razak kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berkata suspek terdiri daripada tiga warga tempatan dan empat warga asing berusia 20 hingga 27 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

“Fail APK yang dimuat turun itu membolehkan sindiket menggunakan kad debit mangsa kerana mangsa telah memasukkan maklumat perbankan mereka ketika proses memuat turun fail dijalankan.

“Akibatnya, kad debit mangsa akan digunakan melalui aplikasi pembayaran elektronik tanpa mangsa sedari dan siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi selama tiga bulan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Bernama.

Dalam serbuan itu, Azmi berkata polis turut merampas 28 buah telefon bimbit dan lima unit komputer yang dipercayai digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan berkenaan.

Katanya, semua ahli sindiket yang berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan tawaran gaji RM4,000 itu kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Berikutan itu, Azmi menasihatkan orang supaya jangan mudah terpedaya tawaran daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali selain sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang fail daripada sumber yang tidak sah.

Orang ramai juga diminta melaporkan kepada National Scam Response Center di talian 997 jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan.

Tiada ulasan: