"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di mana betulnya pandangan Hadi?

Hasbie Muda

Memang benar tulisan Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan yang menjawab tuduhan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam.

Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan penggulungan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada 18 Mac lalu yang mewajarkan Abdul Hadi membuat tuduhan berat kononnya parti itu melawan al-Quran.

Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan Saifuddin yang “menyeru ahli-ahli PKR bersikap 'menyerang' terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama” seperti yang dipetik presiden PAS.

Amat malang apabila Abdul Hadi melakukan kesilapan besar dengan membuat komentar ke atas sesuatu perkara sepenting itu tanpa tabayyun sedangkan ia boleh dirujuk dengan mudah di internet.

Tanpa usul periksa dan semakan teliti, Abdul Hadi menggunakan seruan yang kononnya dibuat Saifuddin untuk menyerang PKR dengan kata-kata “hal ini jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf”.

Lebih malang lagi, seruan itu didakwa Abdul Hadi sebagai membuktikan PKR melawan al-Quran sekali gus melawan Allah kerana “masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik”.

Arah pertahankan kerajaan

Dakwa Presiden PAS: apa yang dipertahankan oleh PKR itu merupakan ajaran yang dinyatakan oleh Bible (Injil) yang dipesongkan dari agama para anbiya, sepertimana yang disebutkan dalam petikan: “Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew 22: 21)

Minda Presiden PAS ditutupi oleh gesaan: “Kita berharap supaya mereka (PKR) kembali kepada al-Quran; petunjuk Allah SWT yang kekal terpelihara sepanjang zaman.”

Amat tidak betul apabila presiden PAS mendakwa Saifuddin sebagai jahil dan buta al-Quran, atau PKR melawan al-Quran sekali gus melawan Allah dan perlu kembali kepada al-Quran, atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) yang memisahkan politik daripada agama.

Jika Presiden PAS membuat semakan terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya menugaskan pegawainya mencatatkan keseluruhan ucapan tersebut, jelas bahawa Saifuddin berucap mengenai kewajipan ahli PKR mempertahankan kerajaan perpaduan melalui pelbagai cara.

Salah satu cara itu ialah perlu menghebahkan dasar dan program kerajaan hari ini menggunakan mode menerang, dan menyerang (offensive).

Misalan yang diberikan oleh Saifuddin ialah tindakan presiden PAS yang tidak berpegang kepada prinsip kedua Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

Berikut adalah kenyataan Saifuddin: “Hari ini kita boleh tengok dalam kalangan pemimpin politik pembangkang apabila raja atau sultan sebagai ketua agama menganjurkan supaya masjid jangan digunakan sebagai pentas politik... kita tengok seorang tokoh pembangkang tanpa rasa bersalah (berkata), “Saya akan teruskan kuliah saya dan ceramah saya dalam masjid sebab dalam Islam ada politik.

Jelas Saifuddin: “Tak ada siapa pun menafikan sebagai agama yang lengkap memang politik ada dalam Islam. Agama yang lengkap, sempurna, Allah Ta’ala reda (Islam) menjadi agama kita untuk dianuti. Jelas, memang dalam Islam ada politik. Kita dituntut berpolitik secara agama.”

Sebaliknya, kata Saifuddin, umat Islam tidak dituntut mempolitikkan agama.

Sifat terlalu angkuh

Berpolitik secara agama, terang Saifuddin, ialah apabila “agama menganjurkan keadilan, orang yang ada kuasa politik dengan dasar itu dia laksanakan keadilan, agama menganjurkan berpolitik secara mutual respect, saling hormat-menghormati, saling kenal-mengenal”.

Ini berbeza dengan mempolitikkan agama yang bermaksud kalau "kamu tak sokong aku, kamu tak terima pandangan aku - neraka tempat kamu”.

Inilah yang diminta oleh Saifuddin agar ahli-ahli PKR jelaskan kepada rakyat.

Contoh kedua yang diberikan oleh Saifuddin ialah pelanggaran prinsip kesetiaan kepada raja dan negara apabila presiden PAS terus-terusan menyebut akan terus berusaha untuk mengambil alih kerajaan walaupun titah Yang di-Pertuan Agong mengatakan harapan baginda agar penggal kerajaan ini cukup lima tahun.

Jelas Saifuddin: “Maka disanggahnya, 'pandangan tuanku bukan qat’ie bukan penamat bukan putus'. Ini nada angkuh, maknanya kalau pandangan tuanku bukan qat’ie maka pandangan tuanku boleh disanggah. Ini kerana terlalu angkuh sampai tak ada orang yang sedia menegur lagi.”

Di mana betulnya hujah Abdul Hadi apabila menuduh Saifuddin melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) yang memisahkan politik daripada agama apabila Saifuddin sendiri menyebut memang dalam Islam ada politik, dan tiada pemisahan politik daripada agama?

Apa yang ditegaskan sebagai tidak betul oleh Saifuddin hanyalah perbuatan mempolitikkan agama, khususnya apabila seseorang itu mempertikaikan tahap keislaman orang lain semata-mata kerana perbezaan pendekatan dalam melaksanakan ajaran agama.

Titah raja-raja yang tidak mahu ahli-ahli politik tanpa tauliah berceramah di masjid dan surau pula ialah kerana tidak mahu perbuatan “mempolitikkan agama” berterusan.

Apakah kerana larangan itu maka Abdul Hadi akan menganggap raja-raja juga melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil)?

Saya juga setuju dengan tulisan Amidi bahawa Minda Presiden PAS itu menunjukkan Abdul Hadi sedang memperkukuh fahaman bercitra Khawarij yang ditolak oleh ahli sunnah wal jamaah.

Menuduh sesuatu golongan Muslim lain melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) adalah perbuatan menimbulkan kebencian yang berbahaya.

Saya pernah berada lama dalam parti menggunakan nama agama itu dahulu dan cukup faham dengan perbuatan seperti dilakukan Abdul Hadi.

Atas sebab itulah saya keluar dari parti tersebut dan yakin kepada pendekatan rahmah yang kami amalkan dalam Amanah sehingga sekarang.

Jika perbuatan Abdul Hadi tidak dibendung segera, negara boleh kembali ke zaman ekstremisme agama yang membawa huru-hara seperti yang pernah berlaku dulu.

HASBIE MUDA ialah anggota Dewan Negara dan ketua Pemuda Amanah nasional.

Tiada ulasan: