"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Waran tangkap: Adun Bukit Payung hadir ke mahkamah

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
MOHD Nor hadir ke Mahkamah Pilihan Raya Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Nor hadir ke Mahkamah Pilihan Raya Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Kuala Terengganu: Selepas dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir ke Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah akhirnya datang ke mahkamah hari ini.

Mohd Nor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu tiba di mahkamah pada jam 9.03 pagi sebagai saksi bagi perbicaraan berkenaan.

Sebelum ini, Mohd Nor diarahkan hadir untuk menyambung memberi keterangannya pada Khamis lalu bagi perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.

Bagaimanapun, kegagalannya hadir menyebabkan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Waran tangkap itu dikeluarkan mahkamah selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Mohd Nor.

Mohd Nor memaklumkan tidak dapat hadir ke mahkamah kerana terbabit dengan program kerajaan negeri yang tidak dapat dibatalkan.

Katanya, kelewatan peguam pempetisyen memberi makluman kepadanya untuk hadir ke mahkamah antara sebab ketiadaannya pada Khamis lalu.

Selain Mohd Nor, dua saksi lain yang turut dipanggil untuk memberi keterangan ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Adun Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional (BN).

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU-15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Tiada ulasan: