"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kecoh dakwaan siasatan SPRM berkaitan Hakim Nazlan bocor di media sosial

SHAFIQAH MUKHSIN

Tular di media sosial mengenai salinan dokumen yang dikatakan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Menerusi akaun Twitter, @mahazalimreturn, laporan tersebut adalah berkenaan pelanggaran kod etika hakim yang dikemuka oleh SPRM kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Berdasarkan maklumat pada muka akhir salinan dokumen tersebut, SPRM mengesyorkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap Mohd. Nazlan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Disebabkan isu tersebut, penganalisis politik, Lim Sian See menerusi akaun Facebook mendakwa Mohd. Nazlan telah melakukan kesalahan menyorok maklumat dan melanggar kod etika hakim di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Dana RM42 juta tidak boleh dipastikan berasal dari SRC International sebab dana RM170 juta telah dibayar oleh Putrajaya Perdana dan anak syarikatnya, Permai Binaraya kepada SRC ketika itu.

“Dana RM170 juta ini berasal dari pinjaman Maybank yang diluluskan ketika Mohd. Nazlan merupakan ketua bahagian undang-undang Maybank,” katanya.

Tambahnya, SPRM juga telah mencadangkan kepada Tengku Maimun agar tindakan diambil ke atas Mohd. Nazlan kerana dipercayai melanggar Kod Etika Hakim.

Tidak hanya itu, Sian See memberitahu, kewujudan laporan daripada SPRM kepada Tengku Maimun pernah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen bulan lalu.

“Namun Tengku Maimun masih belum mengambil apa-apa tindakan atau mengulas tentang laporan ini sejak 20 Februari 2023, iaitu lebih sebulan dahulu,” jelasnya.

Menurut beliau, ia adalah tidak adil kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana perkara-perkara tersebut sepatutnya dipertimbangkan dan dimasukkan sebagai bukti bagi semakan kes beliau yang akan diputuskan pada 31 Mac ini.

“Ketua Hakim Negara, SPRM atau Menteri Undang-undang patut sahkan atau nafikan pembongkaran ini secara umum. Tidak boleh membisu lagi,” katanya.

Mohd. Nazlan merupakan hakim yang mengadili kes SRC melibatkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan pada 28 Julai 2020.

Tiada ulasan: