"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa Zahid, Zafrul tak disiasat kes Kertas Pandora

Raveena Nagotra

Ahli ekonomi politik Edmund Terence Gomez membangkitkan persoalan mengapa Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan isu Kertas Pandora.

Pengerusi Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) intu mendakwa setakat ini hanya bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang dipanggil SPRM berkenaan siasatan perkara itu.

Dalam forum bertajuk 'Rasuah sebagai Masalah Ekonomi' di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, hari ini, ia membangkitkan persoalan jika wujud amalan pendakwaan terpilih oleh kerajaan semasa.

"Jika anda panggil Daim, anda juga perlu panggil orang lain yang disebut dalam Kertas Pandora, misalnya (ahli parlimen Selayang) William Leong.

"Ia tidak berlaku, sebab itu saya agak bimbang. Saya gembira bila ada ahli politik yang berdepan dakwaan rasuah dibawa ke mahkamah. Contoh yang jelas adalah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin," katanya.

Pada Februari lalu, SPRM dilaporkan mengambil keterangan seorang bekas menteri berhubung aset luar pesisirnya yang didedahkan dalam dokumen tersebut. Nama individu itu tidak disebut secara khusus - seperti mana amalan lazim untuk individu yang dalam siasatan tetapi belum didakwa di mahkamah.

Namun, bekas menteri itu disifatkan sebagai seorang pegawai kanan pentadbiran Dr Mahathir Moahamd dan dilaporkan diminta untuk menjelaskan antara lain aliran wang dan pelaburan dalam 12 syarikat luar pesisir yang didaftarkan atas namanya dan ahli keluarganya di luar negara.

Kertas Pandora merujuk kepada kebocoran dokumen kewangan dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat shell dan firma pemegang amanah di kawasan cukai di seluruh dunia.

Dokumen itu didedahkan kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), yang seterusnya memberikan akses kepada rakan kongsinya, termasuk Malaysiakini.

Zahid, Zafrul dan Daim antara individu yang dinamakan dalam dokumen tersebut. Pada 2021, mereka masing-masing berkata bahawa akaun berkenaan telah digunakan untuk tujuan yang sah.

Pentingnya penguatkuasaan bebas

Gomez berkata dia lebih meyakini pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada masa ini berbanding dua pentadbiran sebelumnya, yang masing-masing diketuai Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob.

Namun, dia mendakwa kerajaan sekarang akan terus berdepan dakwaan mengamalkan pendakwaan terpilih sehinggalah SPRM dan Pejabat Peguam Negara (AGC) dijadikan badan yang bebas sepenuhnya.

"Jadikan mereka bebas dan ada kuasa autonomi. Dan tolong buat sesuatu tentang (pelantikan) pesuruhjaya SPRM juga kerana jika pesuruhjaya SPRM tidak dilihat sebagai berwibawa, pasti akan timbul masalah.

"Biar mereka (SPRM dan AGC) jalankan kerja dan serahkan kepada badan-badan autonomi ini untuk membuat pendakwaan terhadap sebarang tuduhan kesalahan," katanya lagi.

Tiada ulasan: