"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Calon MB jadi 'poster boy' PN - Sanusi

Haspaizi Zain

Calon menteri besar merupakan "poster boy" bagi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor.

Jelasnya, PN sudah mempunyai calon menteri besar bagi menghadapi enam PRN yang dijangka akan diadakan paling lewat Ogos tahun ini.

"Di Negeri Sembilan kita akan ada calon menteri besar daripada PN. Di Selangor ada calon Menteri Besar daripada PN.

"Itu 'poster boy' lah. Kita akan highlight (ketengahkan) calon menteri besar kita," katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di sebuah hotel di Ampang, petang tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Enam negeri yang bakal menghadapi PRN ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

PRN perlu diadakan berikutan keenam-enam negeri berkenaan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

PAS menerajui tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala selebihnya ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, PN sudah memuktamadkan pembahagian kerusi di peringkat negeri membabitkan PAS, Bersatu dan Gerakan.

"Kita sudah memuktamadkan pembahagian kerusi di peringkat negeri. Pada peringkat pusat akan buat 'adjustment' (perubahan) sikit mengikut keperluan," katanya.

Katanya, PN juga melantik mas'ul atau koordinator dalam kalangan pemimpin negeri di negeri yang akan menghadapi PRN.

"Jadi semua isu yang tak perlu sampai ke pusat, pakai mas'ul ini pakat bincanglah. Ia untuk selesai lebih cepat dan pantas kita buat keputusan," katanya.

Tiada ulasan: