"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penentang Zahid wajar cari wadah baru kalau masih mahu aktif sebagai ahli politik

PENENTANG ZAHID HAMIDI SUDAH KENA BUNGKUS IKAT MATI, INI MASANYA UNTUK MEREKA BERALIH KE LAIN PARTI

Shahbudin Husin 

Walau apa jua tanggapan atau cuba dinafikan, hakikat yang jelas dan difahami semua orang kini ialah kepimpinan UMNO pusat hampir sepenuhnya dikuasai oleh pasukan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Daripada tiga Naib Presiden, dua daripadanya – Wan Rosdy Wan Ismail dan Khaled Nordin memang diketuai penyokong kuatnya, manakala Johari Ghani pula bukanlah begitu keras tidak menyokong Zahid Hamidi.

Senang cerita, ketiga-ketiganya adalah bersama Zahid Hamidi.

Daripada 25 Ahli MT pula, hanya seorang dua yang diketahui bukan penyokongnya, manakala selebihnya adalah mereka yang memang dikenali sebagai penyokong kuatnya.

Ini bermakna, kedudukan Zahid Hamidi sekarang ini semakin mencengkam dan mustahil untuk digulingkan melalui undi tidak percaya.

Keadaan ini sekaligus menjadikan kerajaan perpaduan yang UMNO menyumbang 26 kerusi Parlimen daripadanya akan terus stabil dan tidak tergugat lagi sehingga PRU16 akan datang.

Apa juga cubaan mahu merampas kuasa atau menjatuhkan kerajaan di pertengahan jalan sebagaimana berlaku sebelum ini eloklah dilupakan saja.

Dengan kedudukan UMNO yang stabil di bawah cengkaman Zahid Hamidi dan pasti terus bersama kepimpinan Anwar Ibrahim kerana hubungan cikgu dengan murid antara keduanya, lain-lain gabungan dalam kerajaan juga tentunya merasakan sia-sia saja untuk cuba-cuba menoleh kepada pihak lain.

Lebih baik mereka terus bersama kerajaan sedia ada ini sambil memperbaiki pelbagai tuntutan yang dikehendaki daripada Anwar.

Dengan keputusan pemilihan UMNO ini turut memperlihatkan kumpulan penentang Zahid Hamidi yang masih ada dalam parti ibarat sudah kena bungkus ikat mati sekarang ini.

Mereka tidak boleh ke mana-mana lagi, bahkan suara mereka semakin tenggelam dengan sendirinya.

Percubaan untuk mengisi kerusi Naib Presiden dan MT yang gagal ini hanya memberi mereka satu pilihan sekarang ini – kembali akur dengan kepimpinan seorang ketua serta menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi.

Tiada guna jika cuba menampilkan suara yang berbeza kerana dengan cengkaman yang makin kukuh ini tambah membuatkan Zahid Hamidi tidak takut sama sekali untuk memecat atau menggantung keahlian mereka yang berani menentangnya.

Kepada pemimpin yang sudah dipecat atau kena gantung keahlian daripada UMNO sebelum ini, janganlah lagi berharap apa-apa kepada parti itu.

Yang dipecat, bakal selama-lamanyalah akan berada di luar UMNO selagi Zahid Hamidi menjadi Presidennya, manakala yang kena gantung enam tahun pula, bertabahlah kerana nama mereka pasti tidak dicalonkan lagi pada PRU16 nanti.

Makna kata, kedua-dua kelompok itu sudah tiada tempat lagi dalam UMNO dan sudah berakhir riwayat mereka.

Pilihan yang terbaik bagi mereka jika ingin terus berpolitik hanyalah dengan segera mencari wadah atau parti baru untuk meneruskan perjuangan.

Pilihlah apa saja parti yang bersepah-sepah ada sekarang ini – Bersatu, Pas, Pejuang, Putra, Berjasa dan macam-macam lagi yang ada.

Kalau tidak mahu beralih kepada mana-mana parti, konon sayang sangat kepada UMNO, elok bersara sajalah pilihan yang sebaiknya.

Menunggu untuk kembali meneruskan perjuangan bersama UMNO yang entah bila waktunya, tambahan lagi usia masing-masing pun makin menua, ia adalah kerja paling membuang masa dan sia-sia.

Tambahan lagi, UMNO selepas ini lebih mungkin terus kekal sebagai penumpang saja daripada mampu kembali semula sebagai peneraju kuasa.

Tetapi, jika memilih menyertai parti baru, mana tahu tiba-tiba mampu beroleh kuasa?. – ShahbudinHusin 19/03/2023.

Tiada ulasan: