"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Serba salah kerana beza politik

AKMAL MANAF

Profesor Madya Pengajian Islam (Hadith & Politik Islam) Universiti Islam Antarabangsa Dr Abu Hafiz Salleh Hudin tampil menjelaskan tentang satu hantaran di Facebook berhubung kehadiran Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin ke majlis marhaban dan berendoi di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, beliau tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh individu di platform media sosial itu, namun perkara yang mempunyai kesan ekstremisme agama perlu dijawab.

”Ada yang berkongsi kepada saya satu hantaran video oleh pemilik akaun Facebook yang meletakkan satu video majlis marhaban dan berendoi perdana yang dihadiri sahabat saya, ADUN Seri Serdang (Abbas Salimi Che Azmi) dan Ahli Parlimen Puchong (Yeo Bee Yin) dengan meletakkan satu kenyataan di manakah maruah mu wahai bangsa Melayu?

”Apabila dilihat pada komen-komen tersebut, komen-komen itu bercampur antara ekstremisme, kejahilan dan pelbagai lagi. Saya tidak pasti apa yang beliau ingin sampaikan.

”Pertamanya, pelbagai asatizah atau guru-guru agama yang benar-benar jujur memberikan ingatan bahawa majlis berendoi atau cukur jambul itu adalah satu adat dan ia bukan daripada amalan yang ditunjukkan secara khusus daripada agama.

”Apabila Ahli Parlimen dan ADUN di kawasan itu hadir untuk meraikan, dan mereka yang hadir juga membenarkan dan meraikan tetamu tersebut.

”Dalam video itu, saya lihat (Bee Yin) memotong sedikit rambut bayi tersebut dan bayi itu saya lihat sudah mencapai berbulan-bulan dan menghampiri mungkin setahun dan mungkin lebih daripada setahun umurnya,” katanya dalam video yang dimuat naik di TikTok beliau.

Dalam video sama, beliau menyambung penjelasannya sekiranya perbuatan tersebut mempunyai kaitan dengan agama.

”Kalau ini dikaitkan dengan agama, agama meletakkan pada hari ketujuh, disembelih kambing.. kalau anak lelaki dua ekor, anak perempuan seekor untuk diakikahkan dan kemudian dinamakan dan dibotakkan keseluruhannya.

”Yang jelas ianya adalah adat. Apabila mereka hadir, ia dijadikan isu politik kepartian.

”Maka akhirnya, kalau buat pun salah, kalau tak buat pun salah hanya kerana perbezaan parti politik,” bidas beliau.

Menurut Abu Hafiz, beliau ada melihat profil individu berkenaan dan mendapati individu itu menyokong satu parti politik yang berasaskan agama.

”Maka saya faham lah.. namun perkara berada dalam media itu, tidak boleh untuk tidak dijawab apatah lagi ia mempunyai kesan-kesan ekstremisme agama sebegini,” ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: