"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pengarah syarikat, isteri didakwa ambil bonus RM400,000 tanpa kelulusan mesyuarat agung

FMT Reporters
Teo Tzi Sin, 48 (kanan) dan Wong Poh Wah, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan mengikut Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 (Akta 777), dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Bekas pengarah sebuah syarikat dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memberikan bonus RM400,000 kepada diri sendiri tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat enam tahun lepas.

Teo Tzi Sin, 48, dan Wong Poh Wah, 49, sebagai pengarah Syarikat Sea Tackle Sdn Bhd didakwa menggunakan kedudukan mereka dengan memberikan harta syarikat sebagai bonus RM200,000 kepada diri masing-masing pada 30 Jan 2018, tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 (Akta 777), dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum bawah Seksyen 218(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta, atau kedua-duanya.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula kes, lapor Bernama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia Amir Sharifuddin Hashim manakala pasangan suami isteri itu diwakili Ong Wen Li selaku peguam.

Tiada ulasan: