"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agong murka isu stoking kalimah Allah, mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil

FMT Reporters

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka dan dukacita berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah dari sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Sultan Ibrahim bertitah, ketika berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu, baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja.

Justeru, Seri Paduka mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap pihak yang didapati bersalah dalam isu berkenaan berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan atau tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO).

Sultan Ibrahim bertitah, tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titahnya.

Tiada ulasan: