"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS minta Bersatu keluar PN jika mahu lawan dalam pilihanraya

FMT Reporters

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah juga sifatkan Muhyiddin Yassin 'gopoh' apabila berkata Bersatu akan guna logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata Muhyiddin Yassin ‘silap’ berkaitan penggunaan logo PN.
PETALING JAYA: Bersatu perlu keluar daripada Perikatan Nasional terlebih dahulu jika mahu ‘lawan’ PAS, kata Naib Presiden Mohd Amar Abdullah.

Respons itu menyusul kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, partinya sedia berdepan habis-habisan PAS yang baru-baru ini memutuskan hubungan dengan mereka, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), malam tadi.

Muhyiddin turut berkata, Bersatu akan bertanding bawah logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor dan Negeri Sembilan akan datang.

“Mahu lawan PAS itu pelik. Kalau betul dia nak lawan dia tidak boleh duduk dalam PN, Bersatu kena keluar la,” kata Amar yang juga speaker DUN Kelantan, lapor Berita Harian.

Beliau ditemui selepas perasmian mesyuarat agung tahunan PAS Pengkalan Chepa dirasmikan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud, hari ini.

Amar juga menyifatkan Muhyiddin ‘gopoh’ apabila berkata Bersatu akan menggunakan logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, kuasa atau watikah berhubung penggunaan logo PRN perlu ditandatangani Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, bukannya presiden parti.

“Nak guna logo PN, saya rasa ada kesilapan dari segi kenyataan. Dia ingat boleh guna dengan mudah, sebaliknya ada peraturannya.

“Kuasa atau watikah perlu ditandatangani oleh pengerusi PN, bukannya presiden parti,” katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu dibincang serta diperhalusi dalam PN dan tidak sepatutnya diumumkan.

“Sebab itu saya merasakan kenyataan Muhyiddin ‘lorat’ (gopoh) kerana ia bersifat teknikal dan perlu dibincang,” katanya.

Tiada ulasan: