Reuters

JET pejuang JF-17 Thunder milik Tentera Udara Pakistan terbang melintasi ruang udara ketika fasa laut Latihan Multinasional AMAN-23 anjuran Tentera Laut Pakistan di Laut Arab Utara berhampiran Karachi, Pakistan. FOTO REUTERS
Islamabad: Pakistan mengerahkan 8,000 anggota tentera, satu skuadron jet pejuang dan sistem pertahanan udara ke Arab Saudi di bawah pakatan pertahanan bersama, sekali gus meningkatkan kerjasama ketenteraan dengan Riyadh ketika Islamabad bertindak sebagai pengantara utama dalam perang Iran.
Kerahan berskala penuh itu julung kali dilaporkan, disahkan tiga pegawai keselamatan serta dua sumber kerajaan yang menyifatkannya sebagai pasukan tempur berkeupayaan tinggi dan besar bagi menyokong tentera Arab Saudi jika kerajaan itu diserang lagi.
Tentera Pakistan, pejabat luar negaranya dan pejabat media kerajaan Arab Saudi bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.
Terma penuh perjanjian pertahanan dimeterai tahun lalu dirahsiakan, namun kedua-dua pihak sebelum ini menyatakan ia mewajibkan Pakistan dan Arab Saudi saling mempertahankan, jika berlaku serangan.
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, sebelum ini memberi bayangan perjanjian itu meletakkan Arab Saudi di bawah perlindungan nuklear Pakistan.
Sementara itu, sumber Pakistan berkata, satu skuadron penuh, membabitkan kira-kira 16 pesawat, kebanyakannya jet pejuang JF-17 dibangunkan bersama China, dikerahkan ke Arab Saudi, awal April lalu.
Dua pegawai keselamatan turut memaklumkan Pakistan menghantar dua skuadron dron.
Lima sumber pula berkata, ia merangkumi kira-kira 8,000 anggota tentera dengan komitmen menambah bilangan jika diperlukan, selain sistem pertahanan udara HQ-9 buatan China.
Mereka berkata, peralatan itu dikendalikan anggota Pakistan dan dibiayai Arab Saudi.
Seorang sumber kerajaan yang melihat teks perjanjian pertahanan sulit itu berkata, ia memperuntukkan kemungkinan hingga 80,000 anggota tentera Pakistan ditempatkan di Arab Saudi, bertujuan membantu mengawal sempadan kerajaan itu bersama tentera Riyadh.
Dua pegawai keselamatan juga berkata, perjanjian itu membabitkan kerahan kapal perang Pakistan. Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada kapal terbabit sudah tiba di Arab Saudi.
Reuters sebelum ini melaporkan, Pakistan menghantar jet pejuang ke Arab Saudi selepas serangan Iran menyasarkan infrastruktur tenaga utama dan mengorbankan seorang warga Arab Saudi.
Keadaan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan Arab Saudi mungkin melancarkan tindak balas besar-besaran yang boleh memperluaskan konflik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan