FMT Reporters
Razeef Rakimin sebelum ini berkata, beliau sedia hilang kedudukan dalam parti asalkan dapat berpegang pada prinsip.

Ketua PKR Tuaran Razeef Rakimin umum letak jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Ketua PKR Tuaran Razeef Rakimin meletak semua jawatannya di dalam parti, seterusnya keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.
Razeef berkata, beliau telah membuat permohonan pembatalan keahlian PKR itu menerusi aplikasi Adil.
“Saya tiada cerita sedih atau mengungkit sejarah 20 tahun perjuangan bersama PKR. Juga tidak ingin menghentam PKR serta rakan-rakan yang masih kekal di sana,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
“Terima kasih atas sokongan, dukungan dan tunjuk ajar sepanjang 20 tahun perjalanan ini. Semoga ukhuwah kita kekal terjalin di samping perbezaan ideologi.”
Semalam, Razeef secara terbuka menegaskan beliau akan mengikuti apa sahaja jejak langkah yang akan diumumkan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli.
Katanya, beliau tetap berpegang kepada prinsip dan bersedia untuk hilang kedudukannya di dalam parti.
Semalam, Rafizi dan bekas naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahamd mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, sekali gus keluar daripada PKR.
Dalam pada itu, mereka turut mengumumkan pengambilalihan Parti Bersama Malaysia dalam usaha merangka hala tuju politik baharu bagi diri mereka dan penyokong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan