Predeep Nambiar
PETALING JAYA: Selepas keluar PKR dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia, Rafizi Ramli berkata mereka yang memilih untuk kekal atau meninggalkan parti itu tidak patut bermusuhan.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, beliau masih mempunyai ramai kawan dalam parti dan tidak akan terasa hati jika mereka memilih untuk kekal bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.
Ini kerana, katanya, masing-masing mempunyai alasan tersendiri untuk menyertai, kekal atau meninggalkan sebuah parti politik.
Tegasnya, beliau dan bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak mahu penghijrahan mereka ke Bersama menjadi mainan campur-tolak, di mana individu tidak bersama mereka terus dianggap musuh.
“Saya rasa itu membezakan kami daripada kartel Azmin Ali dulu (dalam PKR sebelum ini), di mana ‘anda sama ada bersama kami atau menentang kami’,” katanya dalam audio siar ‘Lebih Masa’ yang dihoskan Nik Nazmi.
Azmin dan 10 Ahli Parlimen lain meninggalkan PKR pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan PH.
Rafizi bagaimanapun berkata, mereka yang memilih untuk terus bersama PKR wajar merenung kembali sebab berbuat demikian. Jelasnya, beliau keluar parti kerana PKR bukan lagi parti yang disertainya dahulu.
‘PH yang lemah boleh menang sehingga 90 kerusi’
Rafizi berkata, PH masih boleh memenangi 80 hingga 90 kerusi Parlimen walaupun dalam keadaan paling lemah, hasil sokongan pengundi berfikiran progresif yang dianggarkannya sekitar 35% hingga 40% daripada keseluruhan pengundi dalam negara ini.
Menurutnya, kumpulan pengundi itu mengundi berdasarkan sikap progresif lebih luas dan mungkin terus menyokong PH, jika tiada pilihan lebih baik.
Bekas menteri ekonomi itu bagaimanapun berkata, sokongan mereka tidak patut disalah tafsir sebagai kesetiaan kepada seorang pemimpin semata-mata.
“Bukanlah sebab Anwar Ibrahim itu hebat, Mat Sabu (Presiden Amanah Mohamad Sabu) pandai berceramah. Tak ada kena-mengena dengan saya pun kerana memang aliran politik dalam masyarakat kita ada kira-kira 35% hingga 40% yang berfikiran progresif.”
Katanya, matlamat Bersama ialah memberi pilihan baharu di peti undi kepada kumpulan itu dan pengundi muda.
Beliau mengakui Bersama mungkin mengalami kekalahan besar pada PRU16, tetapi ia mampu mencetuskan gelombang lebih besar dalam pilihan raya berikutnya, jika terus berpegang kepada matlamat asal dan membina sokongan berasaskan idea, kredibiliti serta kejujuran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan