Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Sekumpulan remaja termasuk dua perempuan tergamak mencederakan pemandu e-hailing wanita kerana tiada wang membayar tambang dalam kejadian di Kuala Sungai Baru, di sini, awal bulan ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 4 Mei lalu, mangsa berusia 41 tahun lebam dan bengkak pada beberapa bahagian badan selain kesan jerutan di leher selepas dipercayai diserang kumpulan terbabit.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, sebelum kejadian mangsa menerima tempahan menerusi aplikasi Grab untuk mengambil empat penumpang di Bukit Rambai sebelum menghantar mereka ke Pekan Kuala Sungai Baru.
Menurutnya, kumpulan itu terdiri daripada dua remaja perempuan berusia 14 tahun serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun, dengan seorang daripada suspek masih bersekolah.
"Setibanya di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu menunggu seseorang memasukkan wang ke akaunnya secara dalam talian.
"Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga sebelum bertindak merakam keadaan menggunakan telefon bimbit sebelum kesemua suspek masuk semula ke dalam kereta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad berkata, keadaan kemudian bertukar cemas apabila tiga suspek bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan objek keras serta menjerut leher wanita itu menggunakan kain dari bahagian belakang tempat duduk pemandu, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 15 tahun melarikan diri dari lokasi kejadian.
Katanya, mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari kawasan itu sebelum membuat laporan polis dan menerima rawatan di hospital akibat kecederaan pada hidung, leher serta kedua-dua tangan.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan