PKR teliti tindakan terhadap Ahli Parlimen hadir program Rafizi, Nik Nazmi - Fuziah
Azizi Majid
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap beberapa Ahli Parlimennya yang hadir program pengumuman hala tuju politik bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad semalam.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik parti itu esok.
"Kita akan bincang dalam Mesyuarat Biro Politik esok," katanya ketika diminta mengulas tindakan ke atas beberapa Ahli Parlimen parti berkenaan.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen PKR dilihat hadir dan bergambar bersama Rafizi dan Nik Nazmi ketika kedua-dua pemimpin itu mengumumkan keputusan keluar parti serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.
Antara yang kelihatan hadir ialah Wong Chen (Subang) , Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada hari ini dan seterusnya pemakluman rasmi keluar parti kepada Fuziah pada Selasa.
Rafizi dan Nik Nazmi mengesahkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama), iaitu sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan