"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suri rumah direman bantu siasatan bersubahat samun, seksa dan paksa rakan berbogel

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
DUA wanita direman kerana bersubahat dengan tiga lelaki yang menyamun, mengurung serta dan cucuh kaki rakan dengan pemetik api. FOTO Alias Abd Rani
DUA wanita direman kerana bersubahat dengan tiga lelaki yang menyamun, mengurung serta dan cucuh kaki rakan dengan pemetik api. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Suri rumah antara dua wanita direman enam hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana disyaki bersubahat mengurung rakan sendiri sebelum mangsa disamun, dicucuh dengan pemetik api dan dipaksa berbogel dengan video dirakam tiga lelaki tidak dikenali, semalam.

Perintah reman ke atas suspek masing-masing berusia 29 dan 46 tahun dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini sehingga Selasa depan.

Ia membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun, Seksyen 342 (pengurungan salah), Seksyen 324 (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 509 kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Menurut laporan, mangsa berusia 32 tahun bekerja sebagai pembantu kedai menerima panggilan daripada salah seorang suspek dan meminta datang ke sebuah rumah di Taman Banang Heights, di sini, pada jam 7 pagi semalam.

Sebaik tiba, mangsa mendapati terdapat tiga lelaki tidak dikenali turut berada dalam rumah suspek.

Salah seorang suspek kemudian bertindak menahannya dan tidak membenarkannya keluar dari rumah.

Seorang suspek lelaki bertindak memukul serta membakar pergelangan kaki mangsa menggunakan pemetik api. Mangsa juga dipaksa menanggalkan semua pakaian sebelum salah seorang daripadanya merakam gambar dalam keadaan bogel.

Bukan itu sahaja, malah suspek turut mengugut mahu mencederakan mangsa dengan pisau sekiranya enggan menyerahkan kad bank kepadanya.

Mangsa ketakutan lalu menyerahkan kad terbabit dan suspek kemudiannya mengeluarkan wang berjumlah RM4,200 serta merampas telefon bimbit milik mangsa.

Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas/ Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menjalankan siasatan lalu menahan kedua-dua suspek terbabit malam tadi.

Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca apabila rakan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana mengesyaki menipu mereka dalam urusan pembelian dadah.

Akibat kejadian itu, mangsa mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan disahkan mengalami kecederaan pada pergelangan kaki dan muka.

Susulan itu, polis giat mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia 30-an kerana disyaki menjadi dalang utama dalam kejadian ini.

Tiada ulasan: