Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahmad yang mengumumkan pengambilan Parti Bersama Malaysia (Bersama) secara rasmi mulai Selasa, tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan utama lain, namun optimis mampu menarik keahlian wakil rakyat lain.
Rafizi berkata, Bersama akan bergerak solo dan tidak mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), dan Barisan Nasional (BN) buat masa ini.
“Kita akan bertanding mana-mana kerusi yang dipegang oleh mana-mana parti, baik PH baik PN ataupun BN.
“Tak kira sama ada kerusi itu kerusi PKR kita akan lawan, kalau kerusi itu DAP ada keperluan kita lawan, kalau kerusi Amanah, Umno, PAS, Bersatu, kita akan lawan.
“Kami nak bawa satu budaya politik bahawa kami akan tawarkan calon baik dari generasi baharu, kita akan meletakkan yang muda dan ada pengalaman,” katanya pada sidang media sempena pengumuman hala tuju politiknya dan Nik Nazmi di PJ Performing Arts Centre.
Rafizi turut mendakwa ramai lagi Ahli Parlimen daripada PH termasuk parti lain akan menyertai parti baharu pimpinannya.
“Saya yakin dalam beberapa bulan yang akan datang dan terutamanya pada pilihan raya, saya yakin akan ada lebih ramai Ahli Parlimen, wakil rakyat atau ahli dari PH atau parti lain yang akan memutuskan untuk bergabung bersama,” katanya.
Antara Ahli Parlimen PKR yang hadir pada majlis Rafizi dan Nik Nazmi ialah Wong Chen (Subang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Ditanya risiko parti baharu ditolak rakyat sebagaimana parti baharu lain sebelum ini termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang pernah dipimpin bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamarudin, Rafizi mengakui cabaran itu, bagaimanapun ia bukan perkara mustahil untuk diterima pengundi.
“Malah, kalau tengok kepada pengalaman parti seperti PKR atau DAP pun sebenarnya pada tahun-tahun awal mereka langsung tak berjaya dalam pilihan raya. Tetapi, idea itu lama-lama besar dan idea itulah yang boleh membawa perubahan kepada masyarakat.
“Jadi, Bersama parti yang baharu, walaupun ia telah wujud selama 10 tahun tapi ini kali pertama Bersama akan hadir di persada nasional,” katanya.
Katanya, selepas mengambil alih Bersama, beliau dan Nik Nazmi akan fokus kepada kempen mengukuhkan parti serta keahlian sebelum mengambil alih jawatan kepimpinan utama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan