Malaysiakini
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen memberi bayangan bahawa dia akhirnya akan meninggalkan PKR untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) namun tidak menyatakan sama ada akan mengosongkan kerusinya sebelum pembubaran Dewan Rakyat.
“Jika saya memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, saya akan bertanding sebagai calon Bersama,” katanya seperti dipetik Scoop.
Kenyataannya mengulang pendirian Rafizi Ramli sebelum ini, yang mengelak tindakan disiplin PKR walaupun menyatakan hasrat bertanding pada pilihan raya umum akan datang di luar parti.
Wong antara lapan ahli parlimen PKR yang hadir pada acara semalam, ketika Rafizi dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keputusan mereka menyertai Bersama serta mengosongkan kerusi masing-masing.
Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik yang berlangsung di Petaling Jaya.
Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul pada Isnin, manakala pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh akan dibuat pada Selasa.
Untuk rekod, Bersama berlogokan kancil merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.
Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai menteri pada Mei tahun lalu selepas tewas dalam pemilihan PKR.
Rafizi, yang kini disiasat SPRM berhubung perjanjian semikonduktor bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings, sebelum ini pernah mencabar PKR memecatnya selepas parti itu mengeluarkan dua surat tunjuk sebab terhadapnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan