"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar panggil pimpinan PH bincang kemungkinan adakan PRU

Shakira Buang & Zarrah Morden

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia akan memanggil pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam masa terdekat untuk membincangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya umum.

Perkara itu dinyatakan presiden PKR itu susulan keputusan BN untuk bertanding semua kerusi pada Pilihan Raya Negeri Johor akan datang.

Dalam ucapannya di konvensyen PH di Johor Bahru hari ini, Anwar berkata dia telah bersabar dengan karenah mereka.

"Tapi saya sebut tadi kalau mereka yang mula melanggar, kita jawab dengan tegas tapi kalau mereka berunding dengan baik, kita kan orang baik dan sabar dan bijak dan mahu selamatkan negara ini.

"Tapi kalau kamu pilih untuk bertempur apa pilihan? Malah dalam tempoh terdekat saya akan panggil pimpinan Pakatan Harapan untuk berunding - bukan sahaja di negeri-negeri ini, malah kita harus berfikir serius.

"Kalau inilah cara kita memperkotak-katikan dan meretakkan hubungan dalam kerajaan apakah mungkin kita pilih untuk mengadakan pilihan raya umum seluruh negara,” katanya.

Anwar berkata keputusan untuk mengadakan pilihan raya berada di tangannya tetapi dia akan mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan sekutu yang lain terlebih dahulu.

Sementara itu, Anwar juga membayangkan PH akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi BN termasuk di Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

Tiada ulasan: