"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno NS juga nak tanding solo?

Umno NS sedia tanding semua 36 DUN, kata pemimpin

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno berkata, parti itu sedia bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, termasuk berdepan Pakatan Harapan (PH) pada PRN akan datang.

Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Fadil Md Zin, berkata demikian ketika membidas pimpinan PH negeri itu, termasuk Menteri Besar, Aminuddin Harun yang menyifatkan keputusan 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadapnya sebagai tindakan khianat terhadap kerajaan negeri.

Jelasnya, Adun Umno bertindak sedemikian selepas garis merah yang ditetapkan dilanggar, termasuk membabitkan soal pentadbiran dan kedaulatan institusi adat Negeri Sembilan.

“PH perlu cermin diri sebelum mendakwa ’14 Adun Umno khianat’ kerana prinsip Umno jelas serta tidak akan berdiam diri, seandainya garis merah dilanggar sewenang-wenangnya.

“Umno juga telah bersiap sedia bagi menghadapi peperangan pilihan raya untuk 36 DUN di Negeri Sembilan,” katanya kepada FMT.

Semua 14 Adun Umno menarik balik sokongan kepada Aminuddin pada 27 April lalu kerana hilang kepercayaan terhadapnya berhubung pengendalian dalam pertikaian empat Undang yang dikatakan cuba menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ahad lalu, Aminuddin dilaporkan berkata, keputusan 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadapnya ialah tindakan khianat terhadap kerajaan negeri, yang diibaratkannya seperti ‘kapal besar’ dibina bersama.

“Kami di Negeri Sembilan ada kapal besar, yang kita bina cukup hebat, kukuh tak makan dek badai dan perjalanan jauh sudah dilalui bersama. Tiba-tiba mereka rasa tak selesa, mungkin panas, mungkin rasa mahu sesuatu yang baharu, mereka tebuk dari dalam.

“Jadi, apabila ditebuk, jadikan satu kesan, walaupun mampu tampal, tetapi tetap ada tanda kebocoran. Apabila ada tanda kebocoran, itulah tanda ada pengkhianatan sebelum ini,” kata Aminuddin ketika berucap pada Konvensyen PH di Johor Bahru, kelmarin.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook dalam konvensyen sama pula mencadangkan PH bertanding di semua 36 kerusi DUN negeri itu, sejajar pengumuman Barisan Nasional Johor mahu bergerak solo dan bertanding di 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Fadil mendakwa ‘kapal besar’ yang dimaksudkan Aminuddin sudah tersasar daripada laluannya.

“Istilah ‘kapal besar’ yang dibina bersama adalah tepat untuk PRN ke-15 tempoh hari.

“Namun, tatkala ‘kapal besar’ sedang belayar, yang dinakhodai PH, dilihat sudah tersasar dari laluan sebenar dan tidak lagi mengikut jalan seperti di awal pembinaan ‘kapal besar’ serta melanggar kapal-kapal kecil yang bertungkus-lumus membina ‘kapal besar’.”

Beliau turut mendakwa selepas pembentukan kerajaan Negeri Sembilan, Umno negeri itu seolah-olah diperlekehkan.

“Sejak dari tahun pertama dan ketika lantikan timbalan speaker yang telah dijanjikan kepada Umno dilengah-lengahkan, dari situ kami telah lihat Umno hanya diperlekehkan oleh pimpinan PH.”

Tiada ulasan: