"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN, PH bakal rugi jika bertembung di 56 kerusi Johor

Predeep Nambiar

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berisiko kerugian walaupun dalam bentuk berbeza, jika masing-masing bertanding di semua 56 kerusi pada PRN Johor akan datang.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata PH mungkin menyaksikan penurunan jumlah penyokong yang keluar mengundi kerana mereka kecewa melihat parti sekutu saling bertembung.

“Motivasi penyokong PH untuk keluar mengundi akan menurun.

“Pertembungan PH-BN akan mengelirukan pengundi bandar, golongan muda dan pengundi bukan Melayu dari segi politik,” katanya kepada FMT.

Bagi BN pula, beliau berkata gabungan itu berisiko kehilangan undi protes kepada Perikatan Nasional (PN).

Awang Azman berkata pertandingan tiga penjuru membabitkan BN, PH dan PN di kerusi campuran serta pinggir bandar boleh membuka ruang kepada gabungan pembangkang itu untuk menang, walaupun dengan majoriti kecil.

Beliau mengingatkan pada PRN 2022, sebanyak 24.04% pengundi memilih PN walaupun gabungan pembangkang itu hanya menang tiga kerusi.

Katanya, angka itu menunjukkan ancaman PN tidak boleh dipandang ringan atau diketepikan begitu sahaja.

“Jadi, jika BN dan PH bertembung di kerusi sama, PN yang akan mendapat manfaat. Bukan kerana PN gabungan paling kuat tetapi kerana undi berpecah.”

Beliau berkata pengumuman BN Johor untuk bertanding di semua kerusi mencerminkan gabungan keyakinan, tekanan berkaitan rundingan, serta strategi untuk menghidupkan semula imej Umno sebagai parti dominan.

Namun, katanya, BN perlu berhati-hati agar tidak terlalu yakin.

“Landskap politik selepas 2018 tidak lagi statik. Pengundi kini lebih kritikal dan tidak teragak-agak menghukum parti yang dilihat lebih mengutamakan kuasa berbanding kestabilan serta kebajikan rakyat.”

Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi pada Sabtu mengumumkan gabungan itu akan bertanding di semua kerusi selepas mengambil kira pandangan dan aspirasi rakyat Johor, selain maklum balas daripada akar umbi Umno dan BN di negeri itu.

Sehari kemudian, PH Johor turut mengumumkan pendirian sama.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara turut bersetuju perpecahan undi akan merugikan kedua-dua gabungan.

“Tidak kira sama ada kerusi itu bandar, separa bandar, campuran atau luar bandar yang majoritinya Melayu.

“Kedua-duanya akan terkesan kerana masing-masing mempunyai penyokong sendiri.”

Azmi berkata akhirnya tiada parti mungkin memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan, menyebabkan kedua-dua gabungan terpaksa saling bergantung.

“Keadaan itu akan mewujudkan satu bentuk kerjasama yang sangat ‘pseudo’ antara kedua-dua parti politik ini,” katanya.

Beliau berkata PH dan BN sebenarnya sedar perkara itu dan pengumuman ‘bergerak solo’ hanyalah laungan bagi membakar semangat penyokong masing-masing.

Tiada ulasan: