"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perkahwinan hanya bertahan dua minggu, bekas isteri jalin hubungan sejenis

Nurhanim Osman
am@hmetro.com.my
Rahman (bukan nama sebenar) berdepan perceraian selepas lima bulan berkahwin akibat konflik membabitkan keluarga.
Rahman (bukan nama sebenar) berdepan perceraian selepas lima bulan berkahwin akibat konflik membabitkan keluarga.
Kuala Lumpur: Baru dua tahun mendirikan rumah tangga, seorang lelaki berusia 27 tahun terpaksa menerima hakikat bahawa perkahwinan yang dibina bersama wanita sebaya berakhir dengan perceraian.

Bagi Abdullah (bukan nama sebenar), perpisahan pada 2024 itu bukan berpunca daripada satu pertelingkahan semata-mata, sebaliknya perbezaan jangkaan terhadap kehidupan berumah tangga yang semakin ketara selepas mereka berkahwin pada 2022.

Hubungan jarak jauh (PJJ) yang dilalui turut membataskan masa bersama, sekali gus menyukarkan mereka memenuhi keperluan dan harapan masing-masing apabila konflik timbul, apatah lagi bekas isteri didakwanya turut mempunyai masalah kesihatan mental.

"Apabila konflik, dia akan cederakan diri sendiri. Ada perkara dia harap daripada saya, tapi saya gagal penuhi. Saya akui saya juga bersalah kerana tak bertanya, fahami perkara itu sebelum kami kahwin. Saya tak boleh salahkan dia atas sakitnya," katanya kepada BH.

Semalam, BH melaporkan 54,506 kes perceraian pasangan Islam didaftarkan di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Nenney Shuhaidah Shamsuddin, berkata lima tahun pertama perkahwinan antara tempoh paling mencabar bagi pasangan suami isteri kerana masing-masing masih menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga.

Sementara itu, Kamarul, 36, berkata perkahwinannya hanya bertahan selama dua minggu selepas bekas isteri didakwa menjalin hubungan sejenis dengan wanita lain.

Katanya, beliau sudah mengenali bekas isteri sejak zaman sekolah menengah, namun tidak mengetahui hubungan yang didakwa itu sebelum mereka berkahwin pada 2019, sebaliknya hanya tahu selepas bertemu bekas rakan serumah wanita itu.

"Dia dan wanita pasangannya adalah penjawat awam. Perceraian kami hanya diselesaikan secara rasmi melalui cerai khuluk pada 2021 berikutan kelewatan proses akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Syuhadah (bukan nama sebenar) berpisah dengan bekas suaminya selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Syuhadah (bukan nama sebenar) berpisah dengan bekas suaminya selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Kerap lafaz taklik 

Bagi wanita hanya mahu dikenali sebagai Syuhadah, 33, perkahwinannya bertahan tiga tahun selepas berdepan masalah taklik dibuat bekas suami, antaranya larangan keluar rumah, bercakap politik dan berhutang lebih RM500 menerusi platform beli-belah Shopee.

"Bekas suami lafaz tujuh taklik kepada saya. Setiap kali bergaduh, dia akan guna taklik itu untuk pastikan saya ikut kata-katanya. Kami sangka usia perkahwinan sudah cecah empat tahun, tapi sebenarnya hanya tiga tahun selepas mahkamah putuskan taklik jatuh pada 2025.

"Kami berpisah pada 2026 dalam keadaan yang tidak baik, ditambah pula dengan campur tangan keluarga bekas suami," katanya.

Pengalaman perit berumah tangga turut dilalui seorang lelaki berusia 46 tahun yang berpisah selepas hanya lima bulan mendirikan rumah tangga apabila timbul konflik membabitkan hubungannya dengan keluarga arwah isteri pertama.

Rahman (bukan nama sebenar) berkata, bekas isteri dikahwininya pada 2021 tidak dapat menerima hubungannya yang masih baik dengan keluarga arwah isteri pertama, malah memintanya memilih antara dirinya atau keluarga isteri pertama.

"Keadaan jadi lebih sukar apabila dia bertelingkah dengan anak tiri, mula mencarut. Saya rasa perkahwinan ini tak dapat diteruskan kerana saya tidak sangka bekas isteri tak boleh terima hubungan saya dengan keluarga arwah isteri," katanya.

Bagi Ina, 38, perkahwinan dibina selama dua tahun tujuh bulan berakhir selepas mendakwa bekas suami ditangkap berkhalwat dengan wanita lain pada 2023, yang terbongkar selepas dia menyiasat pergerakan lelaki itu.

"Dia kerap pulang lewat malam, malah ada kala langsung tak pulang. Saya bersama ibu, bapa dan adik lelaki kemudian dapatkan bantuan jabatan agama ambil tindakan terhadap mereka. Pada 28 Mac 2023, saya ke mahkamah mohon cerai dan bekas suami bersetuju lafaz talak atas arahan hakim," katanya.

Tiada ulasan: