KOSMO!

Beberapa kejadian kebakaran yang berlaku dalam 27 jam di negara kita.
PETALING JAYA – Belum reda berita sedih mengenai empat individu yang rentung di Johor dan Sabah kelmarin, negara sekali lagi dirundung kepiluan apabila dua beradik menemui ajal dengan cara serupa di Kampung Teloi Tua, Sik, Kedah semalam.
Kejadian dalam tempoh 27 jam pada pukul 6.18 pagi itu mengakibatkan Mohd. Raifal Abdul Latif, 3 dan adiknya, Aishah Umairah, 16 bulan rentung di dalam stor pejabat sebuah gudang simpanan tong gas.
Ketua Polis Daerah Sik, Superintendan Shamzury Saman berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu mereka yang berusia 23 tahun. Ibu mangsa tidak bekerja dan tinggal sementara dengan datuk si mati di lokasi tersebut.
Katanya, datuk mangsa yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai kelindan lori tong gas tinggal di bilik lain yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
“Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. Mayat dua beradik itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat,” katanya.

Mangsa kebakaran dalam insiden di beberapa buah negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Bomba Bryan Del Bungkias berkata, mayat dua beradik itu ditemui berpelukan di atas tilam di dalam bangunan berkenaan.
“Siasatan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup dari bangunan berdekatan bagi mendapatkan maklumat berhubung kejadian kebakaran tersebut memandangkan tiada alat itu di lokasi kejadian.
“Punca kejadian masih disiasat dan setakat ini tiada kaitan dengan tong gas kerana pusat penyimpanan LPG terletak agak jauh dan berada di bangunan berasingan,” katanya.
Dalam pada itu, ibu mangsa yang enggan dikenali tidak menyangka hilang dua anak dalam sekelip mata akibat kejadian.
“Saya menyedari rumah terbakar sebaik pulang dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak,” katanya.
Lebih memilukan, wanita itu dipercayai baru dua minggu pulang ke kampung dari Kuala Lumpur.
Di Tawau, Muhammad Nor Fazryn Norman, 13, dan adiknya, Nurailin Nathania, 10, ditemukan rentung selepas terperangkap di dalam bilik rumah teres dua tingkat yang dipasang jeriji di Taman Ria 11 kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.13 pagi itu, seramai enam mangsa dilaporkan terlibat, dengan empat daripadanya berjaya diselamatkan.
Ibu saudara mangsa Noreen Malvine, 37, berkata, si abang ternyata berkorban dan setia kerana menjaga adik perempuannya yang juga autistik hingga ke akhir hayat.
“Sebelum ini ke mana-mana sahaja, dia (Muhammad Nor Fazryn) yang urus Nurailin dan mereka memang sentiasa bersama. Ketika tidur pun dia yang jaga, mereka satu bilik tetapi kedua-dua mereka tidak sempat selamatkan diri,” katanya.
Noreen berkata, adik iparnya Nor Fazrina Edayu Faisal cuba menyelamatkan mereka, namun terpaksa terjun melalui tingkap bilik bersama-sama tiga lagi anaknya apabila bumbung rumah berkenaan runtuh.
Di Batu Pahat, dua beranak, Jamilah Bebe Abdul Rahman, 63, dan Abdul Rahim Abdul Muthaliff, 36, rentung apabila gagal menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Lorong Hajah Aminah, Kampung Parit Raja terbakar kelmarin.
Mayat dua beranak tersebut ditemui di dua bilik berasingan dalam keadaan meniarap dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan